
Ia susulan jawapan Henry bahawa kerajaan setakat ini tiada perancangan untuk memperkenalkan perkhidmatan itu kerana mengambil kira isu keselamatan dan kemalangan jalan raya melibatkan penunggang serta pembonceng motosikal.
“Jawapan Timbalan Menteri malas dan tidak telus. Jangan buat keputusan berdasarkan emosi dan tidak ikut data,” katanya di Dewan Rakyat.
Syed Saddiq bagaimanapun mendesak supaya kementerian menyediakan data kemalangan lebih spesifik khusus berkaitan sektor berkenaan dalam tempoh enam bulan seperti ditetapkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 2019.
Katanya, keputusan itu akan memberi kesan kepada syarikat kecil yang mahu menceburi perniagaan tersebut.
“Kabinet pada 2019 telah pun meluluskan dengan syarat yang agak ketat e-hailing teksi motosikal dengan menetapkan tempoh enam bulan selepas ia dibenarkan untuk melihat penambahan dari segi kemalangan sektor e-hailing motosikal,” katanya.
Terdahulu Henry berkata, keputusan menangguhkan kebenaran bagi sektor itu adalah berdasarkan statistik daripada polis yang dikeluarkan pada 2019.
Katanya, penunggang motosikal merekodkan 64% daripada jumlah keseluruhan 6,100 kematian pada 2019.
Bagaimanapun jelasnya kerajaan akan terus mengkaji isu tersebut dari semasa ke semasa.