Tiada kos tambahan penubuhan Yayasan Keluarga Malaysia

Tiada kos tambahan penubuhan Yayasan Keluarga Malaysia

YKM hanya pelengkap kepada usaha dilaksanakan kerajaan bagi melindungi kanak-kanak kehilangan ibu bapa dan penjaga akibat Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Abdul Latiff Ahmad berkata, Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) akan bertindak sebagai sekretariat yang akan menyokong pengoperasian YKM.
PETALING JAYA:
Penubuhan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) tidak melibatkan sebarang kos tambahan termasuk pembukaan pejabat baharu, kos renovasi pejabat dan emolumen kakitangan baharu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad.

YKM ditubuhkan sebagai pelengkap kepada usaha yang dilaksanakan kerajaan bagi melindungi kanak-kanak kehilangan ibu bapa dan penjaga akibat Covid-19 dengan memfokuskan kepada aspek kebajikan dan perkembangan sosial kanak-kanak.

Beliau berkata, Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) akan bertindak sebagai sekretariat yang akan menyokong pengoperasian YKM.

“SEPADU menjadi sekretariat dengan menjalankan tugas keurusetiaan dan penyelarasan dengan sumber sedia ada dan ia tidak melibatkan kos tambahan lain,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat.

Latiff dalam pada itu memberi jaminan YKM tidak akan mengganggu atau menjejaskan mana-mana organisasi termasuk badan bukan kerajaan yang bekerja rapat untuk memberi bantuan kepada golongan memerlukan.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan, kerajaan melalui Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) sedang membangunkan Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) mengandungi maklumat profil rakyat Malaysia dan program perlindungan sosial daripada pelbagai kementerian dan agensi.

Katanya, PDPS akan menjadi pintu masuk tunggal serta sumber rujukan utama program-program perlindungan sosial yang meliputi elemen pekerjaan, insurans sosial dan bantuan sosial.

“PDPS bagi Modul Bantuan Sosial dijangka siap dibangunkan pada suku pertama tahun 2022,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.