‘Percakaran’ Sanusi-TMJ, Pemuda PAS Johor mohon maaf

‘Percakaran’ Sanusi-TMJ, Pemuda PAS Johor mohon maaf

Pemuda PAS Johor percaya beberapa kenyataan dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah hanya membangkitkan semangat kesukanan, bukan atas dasar kepentingan peribadi.

Kenyataan dimuat naik Sanusi didakwa ditujukan kepada Tunku Ismail selepas perlawanan Kedah Darul Aman FC menentang JDT malam tadi yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Gara-gara sikap “nakal” Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang mengusik pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Pemuda PAS negeri itu memohon maaf kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ia susulan “percakaran” di media sosial antara Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu.

Ketua Pemuda PAS Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz, berkata pihaknya maklum perlawanan yang berlangsung antara pasukan JDT dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Nawfal berkata, pihaknya mengambil maklum berlaku salah faham dikhuatiri berpunca kekhilafan laras bahasa digunakan Sanusi kepada TMJ lantaran teguran diberikan merujuk kepada isu tunggakan gaji staf dan pemain KDA FC, menurut laporan Kosmo.

“Tanpa niat menderhaka, kami percaya bahawa beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Menteri Besar Kedah hanya membangkitkan semangat kesukanan, bukan atas dasar kepentingan peribadi.

“Justeru, Dewan Pemuda PAS Negeri Johor dengan rendah hati ingin merafak sembah ampun kepada Tunku Mahkota Johor di atas kekhilafan yang berlaku,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.