Pemimpin PAS ‘asak’ wartawan FMT: Tuduhan Pemuda PAS tutup kebenaran audio kejadian

Pemimpin PAS ‘asak’ wartawan FMT: Tuduhan Pemuda PAS tutup kebenaran audio kejadian

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Nadzir Helmi, mendakwa wartawan FMT tidak memperkenalkan diri dan terus 'menggasak' pemimpinnya berhubung tindakan kerajaan Kedah menutup kedai nombor ekor.

PETALING JAYA:
Pemuda PAS hari ini mendakwa wartawan FMT yang dilaporkan diasak oleh Idris Ahmad dan Awang Hashim tidak memperkenalkan diri, sungguhpun rakaman audio kejadian itu membuktikan sebaliknya.

“(Saya) dari Free Malaysia Today,” itu kata-kata pertama wartawan Minderjeet Kaur kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal ehwal Agama) Idris Ahmad semalam, sebelum ‘cuba’ mendapatkan penjelasan beliau mengenai keputusan kerajaan Kedah pimpinan PAS mahu menutup kedai judi nombor ekor di negeri itu.

Rakaman audio itu yang boleh diikuti di bawah menidakkan dakwaan Ketua Penerangan Pemuda PAS, Nadzir Helmi, bahawa Minderjeet “datang mengejut” kepada Naib Presidennya dan “tanpa perkenalkan diri, terus ‘menuduh’ adakah isu penutupan kedai judi dan arak akan menjejaskan hak bukan Islam”.

Rakaman audio itu jelas menunjukkan Idris sendiri menyambut sapaan Minderjeet sebelum wartawan FMT itu mengajukan soalan mengenai penutupan isu kedai nombor ekor di Kedah yang diumumkan semalam.

Dalam kenyataannya, Nadzir membuat beberapa tuduhan lain dan menggambarkan situasi itu sebagai Idris “tanya soalan yang terlalu sentap apabila dia (wartawan) terus menggasak seolah ‘memaksa'”.

“Ha, bertemu buku dan ruas,” kata Nadzir dalam kenyataan yang disiarkan Harakahdaily.

FMT mempertahankan kewajaran soalan yang ditanya oleh Minderjeet kepada Idris selaku pemimpin tinggi parti komponen kerajaan persekutuan selain mentadbir tiga negeri di Semenanjung.

Atas tindakannya meminta penjelasan mengenai keputusan yang diambil di Kedah, Minderjeet ditanya oleh Idris sama ada beliau boleh menerima jika suaminya seorang kaki judi.

“You setuju ke kalau suami you kaki judi?” tanya Idris kepada Minderjeet yang mengingatkan menteri itu bahawa isu berkenaan bukan mengenai keluarganya.

Malah, Idris enggan menjawab sebarang soalan lanjut selagi wartawan FMT itu tidak menjawab soalan beliau.

Beberapa kumpulan advokasi media dan ahli politik hari ini membidas dua pemimpin PAS kerana bersikap bermusuh terhadap wartawan FMT yang hanya menjalankan tugasnya.

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Farah Marshita Abdul Patah berkata, kesatuan itu tidak berpuas hati dengan tindakan beberapa pemimpin dan ahli politik seperti pemimpin PAS berkenaan yang “membuli wartawan ketika menjalankan tugas”.

Selain Idris, Nadzir juga dilihat cuba mempertahankan tindakan Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim yang membidas Minderjeet kerana menyoal dalam Bahasa Inggeris.

Malah Awang menuduh Minderjeet tidak menghormati beliau dan Idris tetapi gagal memberikan sebarang alasan kukuh.

Selain itu, Awang yang juga Ahli Parlimen Pendang juga bertanya Minderjeet sama ada beliau warga negara Malaysia kerana menanya soalan dalam Bahasa Inggeris.

“YB Awang tegur sikap si wartawan ini dan menegur supaya berbahasa Melayu,” kata Nadzir.

Apa yang tidak dinyatakan oleh Nadzir, mahu pun diakui oleh Awang sendiri, ialah Idris tidak sama sekali kelihatan “bingung” terhadap soalan yang ditanya Minderjeet.

Mereka (Idris dan Awang) hanya tidak selesa dengan topik soalan yang dibangkitkan oleh wartawan FMT itu.

Minderjeet, seorang wartawan veteran FMT, menemu bual Idris yang diiringi Awang selepas pelancaran manifesto Perikatan Nasional (PN) semalam.

Berikut transkrip perbualan antara wartawan kami dan Idris serta celahan oleh Awang:

Wartawan: YB, saya…

Idris: Daripada mana?

Wartawan: Dari Free Malaysia Today.

Idris: Ha, okay. Ada apa?

Wartawan: Nak tanya tentang hari ini Kedah Menteri Besar, he has said all the 4D outlets will be closed. (Menteri Besar Kedah kata semua kedai 4D akan ditutup”)

Idris: Ha, yes. (Ya)

Wartawan: So there are a lot of people who are saying you are infringing into the rights of non-Muslims. So can you comment? (Banyak orang mengatakan anda mencabuli hak orang bukan Islam. Boleh anda ulas?)

Idris: Bab judi ini semua orang, termasuk Muslim dan non-Muslims, tak setuju dengan judi.

Wartawan: How do you know that? (Bagaimana anda tahu bahawa orang bukan Islam tak setuju dengan judi?)

Idris: Huh? (…)

Wartawan: How do you know that?

Idris: Sebab itu…macam di Kelantan, di Terengganu sudah buat pun boleh diterima oleh orang bukan Islam.

Wartawan: But that is in Kelantan and Terengganu. But what about…people are worried that it might…you might try to impose in other states. (Tetapi itu di Kelantan dan Terengganu. Orang ramai bimbang ia mungkin akan….anda mungkin akan cuba melakukannya di negeri-negeri lain)

Awang: You tanya Bahasa Melayu lah, you are Malaysian or not? (Awak warga Malaysia atau bukan?)

Wartawan: I am a Malaysian. Saya boleh… (Sudah tentu saya warga Malaysia. Saya boleh berbahasa Melayu)

Idris: Okay, okay.

Awang: So speak Malay. Cakap Bahasa Melayu lah.

Wartawan: Please don’t do that to me. (Tolong jangan layan saya sedemikian)

Awang: Cakap Bahasa Melayu lah.

Wartawan: Please don’t do that to me.

Awang: Why? Why? You do that to us is okay? (Kenapa? Kenapa? Awak buat macam itu pada kami okay?)

Wartawan: But you can always say properly. Don’t do that, please. (Anda boleh jawab dengan cara yang baik. Jangan layan saya sedemikian, tolonglah)

Awang: You also proper ask the question, you know. If you want me to respect you, you must respect us first. (Anda pun kena tanya soalan cara baik, tahu tak. Anda mahu saya hormati anda tapi anda kena hormat kami dulu)

Wartawan: Of course I am respecting. I am asking… (Sudah tentu saya menghormati awak…saya sedang bertanya…)

Awang: You cakap Melayu, boleh tak?

Wartawan: Boleh…

Awang: Sila cakap Melayu.

Wartawan: So kenapa…orang sekarang khuatir mungkin PAS akan, you know, put this di negeri-negeri lain. (Jadi kenapa…orang sekarang khuatir PAS sekarang mungkin akan juga melakukannya di negeri-negeri lain?)

Idris: You setuju ke kalau suami you kaki judi? I mahu tanya-tanya you dulu.

Wartawan: It is not about my family. (Ini bukan pasal keluarga saya)

Idris: I tanya you dulu. You jawab my question dulu. Jawab dulu. Okay? Itu cukup lah. Okay cukup.

Suara: You are from?

Suara: Free Malaysia Today.

Suara: Free Malaysia Today…normal lah. Hari ini…

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.