Timah, Dollah atau Wahab, PAS tetap bantah, kata Idris

Timah, Dollah atau Wahab, PAS tetap bantah, kata Idris

Naib Presiden PAS itu berkata, pendirian parti itu jelas dan konsisten berkaitan minuman keras walau apa jenama sekalipun.

Idris Ahmad yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata PAS kekal membantah pengeluaran arak tempatan, Timah.
PETALING JAYA:
PAS tetap berpendirian tegas membantah pengeluaran arak tempatan, Timah, walaupun Kabinet membenarkan penggunaan nama berkenaan di pasaran, kata Naib Presidennya Idris Ahmad.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), berkata pendirian parti itu jelas dan konsisten berkaitan minuman keras walau apa jenama sekalipun.

“Dalam hal ini, pendirian PAS mengenai arak adalah jelas. Kita tidak setuju dari awal atas apa nama pun, tidak kira Timah, Dollah atau Wahab.

“Malah, tiada juga dalam kalangan pimpinan parti yang menyokong isu arak Timah ini. Pendirian kita jelas, sedangkan pesta arak pun kita lawan,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Media semalam melaporkan, kerajaan membenarkan syarikat pengeluar arak, Winepak Corporation (M) Sdn Bhd, terus menggunakan jenama Timah di pasaran.

Bagaimanapun, syarikat itu dikehendaki memasukkan label tambahan pada botol wiski bagi menjelaskan bahawa nama itu sebenarnya merujuk kepada bijih timah seperti diusulkan mereka.

Isu jenama arak berkenan menjadi kontroversi berikutan namanya dilihat berkait dengan nama orang Melayu dan Islam, iaitu ‘Fatimah’ selain imej lelaki yang dipaparkan di atas botol arak seperti menggambarkan seorang lelaki berjanggut dan memakai kopiah.

Bagaimanapun, syarikat pengeluar menafikan dakwaan itu dan menjelaskan bahawa nama Timah itu merujuk kepada bijih timah dan lelaki yang dipaparkan pula adalah Kapten Tristram Speedy, seorang penjelajah British abad ke-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.