
Bagaimanapun, manifesto diumumkan itu tidak seperti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang memperuntukkan dana sama rata untuk semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa mengira parti politik.
Muhyiddin juga tidak mengumumkan calon Ketua Menteri Melaka PN.
Beliau berkata, ikrar itu diumum berdasarkan enam tunjang utama, berpacukan 11 strategi dan berlandaskan 74 pendekatan.
Katanya, enam teras itu adalah keutuhan ekonomi, keprihatinan kepada rakyat, kerancakan sektor pelancongan, kelestarian alam sekitar, kecekapan infrastruktur serta keteguhan dan kejujuran pentadbiran.
“Manifesto PN akan memperuntukkan bantuan kewangan untuk penyelenggaraan sekolah tahfiz yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) serta RM200 secara ‘one-off’ untuk guru tahfiz, KAFA dan guru tadika bawah JAIM,” katanya.
PN juga akan berusaha meningkatkan tahap pendidikan di Melaka dan menjadikannya antara tiga negeri terbaik dalam pencapaian keputusan peperiksaan awam di Malaysia.
Muhyiddin berkata, bantuan “one-off” RM200 juga akan diberikan kepada semua anak dilahirkan di Melaka pada 2021.
Bagi menangani kesesakan lalu lintas di bandar, beliau berkata PN akan menyediakan lebih banyak ruang letak kereta dan memperkenalkan kemudahan “park-and-ride” untuk mengurangkan bilangan kereta di jalan raya.
“Kami akan membentuk pasukan petugas khas untuk memantau pelaksanaan ikrar ini sekiranya PN membentuk kerajaan negeri,” katanya.
Muhyiddin percaya, rakyat pasti kecewa mendengar laporan salah guna kuasa dan penyelewengan khazanah Melaka oleh pihak “rakus dan tidak bertanggungjawab” dan inilah masanya untuk memulakan perubahan di negeri itu.
“Pilihan raya negeri ini adalah peluang untuk rakyat di Melaka memperbetulkan keadaan ini.
“Rakyat Melaka mesti mengambil langkah yang berani untuk melakukan perubahan,” katanya.