Litar lumba mewah akan dibina di Langkawi

Litar lumba mewah akan dibina di Langkawi

Projek 'Open Road Asia International Circuit' bernilai RM4.8 bilion itu akan mula dilaksanakan pada awal 2022.

Bukit Malut di Langkawi sering dikaitkan dengan penempatan haram pendatang asing dari Myanmar. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Litar lumba mewah akan dibina di Bukit Malut, Langkawi yang sering dikaitkan dengan penempatan haram pendatang asing dari Myanmar menerusi projek “Open Road Asia International Circuit” bernilai RM4.8 bilion.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor ketika membentangkan Bajet 2022 Kedah berkata, projek itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama anak syarikat kerajaan negeri, Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Open Road Asia Sdn Bhd.

“Tanah seluas 186 ekar (75.2 hektar) milik PKB akan dibangunkan dengan projek litar lumba kereta mewah, gudang penyimpanan kereta mewah, ruang pameran, hotel, kondominium dan pusat perniagaan.

“Projek bernilai RM4.8 bilion akan bermula pada awal 2022,” katanya.

Pada 27 April lalu, Sanusi dilaporkan berkata, kerajaan negeri optimis isu berkaitan pemindahan penduduk yang mendiami Bukit Malut di Langkawi lebih 20 tahun lalu dapat diselesaikan tahun ini.

Katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan agensi berkaitan sudah memulakan perbincangan, manakala kerajaan negeri akan memudahkan segala urusan, khususnya berkaitan pengambilan tanah.

Sebelum ini, kerajaan Kedah memaklumkan penduduk yang dikategorikan sebagai Melayu Islam Kedah (MIK) itu akan dipindahkan ke kawasan lebih selesa.

Cadangan pemindahan itu juga bagi memulangkan tanah yang didiami penduduk terbabit kepada pemilik asalnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.