Saya menyesal sertai PKR kerana termakan tawaran PH, kata Jailani

Saya menyesal sertai PKR kerana termakan tawaran PH, kata Jailani

Muhammad Jailani Khamis berkata, beliau tidak meninggalkan PKR, sebaliknya dipecat parti itu melalui dua surat yang dihantar kepadanya tahun lalu.

Muhammad Jailani Khamis berkata, beliau meninggalkan Umno pada 2016 demi melawan Ketua Menteri ketika itu, Idris Haron atas matlamat membanteras rasuah, nepotisme dan kronisme.
MASJID TANAH:
Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia pada pilihan raya negeri Melaka, Muhammad Jailani Khamis mengakui beliau menyesal menyertai PKR selepas meninggalkan Umno pada 2016 akibat termakan tawaran Pakatan Harapan (PH) menjelang pilihan raya umum (PRU) 2018.

Beliau memenangi kerusi Rembia atas tiket PH pada PRU14 sebelum dipecat PKR kerana memberi sokongan kepada kepimpinan BN sewaktu kerajaan Melaka pimpinan PH tumbang pada Mac 2020.

Jailani berkata, tindakannya menyokong BN pada tahun lalu bukan pengkhianatan, sebaliknya demi memperjuangkan kebenaran.

“Inilah hakikatnya, kalau hendak bercakap mengenai ketidakbetulan atau kemungkaran, semua parti ada benda ini, tetapi ada parti dalam PH lebih ekstrem.

“Disebabkan itu, saya perlu membuat pilihan kerana mereka tidak menunaikan janji seperti digembar-gemburkan.

“Saya pengkhianat ke saya pembela? Mana janji-janji yang ditawarkan kepada rakyat?” soalnya ketika ditemui FMT.

Tegasnya, beliau tidak meninggalkan PKR, sebaliknya dipecat parti itu melalui dua surat yang dihantar kepadanya tahun lalu.

Jailani turut mendakwa terdapat perbezaan ketara antara PH dan BN.

“Dalam tempoh lima tahun bersama mereka (PH), saya boleh lihat macam-macam. Pagi petang berpolitik…malam esok sambung lagi berbanding BN langsung tidak sebut pasal politik.

“Saya rasa ini perbezaan paling ketara. Apabila saya jadi Exco di bawah kepimpinan kerajaan BN, kita lebih kepada penyelesaian masalah, kita tidak ada bercakap mengenai politik,” kata Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan di bawah kerajaan Melaka yang tumbang awal bulan lalu.

Jailani berkata, beliau meninggalkan Umno pada 2016 demi melawan Ketua Menteri ketika itu, Idris Haron atas matlamat membanteras rasuah, nepotisme dan kronisme.

“Saya keluar kerana lawan Idris dan sekarang sudah terbukti bagaimana sikapnya. Allah tunjukkan beliau kepada rakyat, sekarang telah terbukti kenapa saya melawan beliau sebelum ini.

“Sepanjang bersama Umno, saya amat mengenali Idris, tetapi pihak lain lebih mempercayainya. Pada saya, macam-macam orang kata, ada yang melabelkan saya dengan pelbagai versi,” katanya yang kembali ke pangkuan Umno pada 1 Jan lalu, selepas dipecat PKR tahun lalu.

Ketua Penerangan Umno Bahagian Alor Gajah itu mendakwa beliau memilih untuk kembali kepada Umno berbanding menyertai Bersatu kerana Bersatu lebih gemar berpolitik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.