PRN Melaka: Bahan kempen PN, PH rosak akibat khianat

PRN Melaka: Bahan kempen PN, PH rosak akibat khianat

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan, berkata budaya samseng dan ekstrem tidak sepatutnya dibudayakan.

Bahan kempen Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana dirosakkan, manakala perkara sama turut berlaku terhadap Pakatan Harapan (PH) di DUN Pengkalan Batu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Budaya samseng dan ekstrem dalam berkempen perlu dihentikan susulan poster dan kain rentang bendera Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana dirosakkan, kata Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan.

Katanya, aktiviti kempen pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka sepatutnya berjalan secara baik, tanpa perlu kepada perbuatan vandalisme.

“Janganlah sehingga merosakkan bahan kempen parti lain. Budaya samseng dan budaya ekstrem mesti dihentikan serta merta dan dipadam daripada landskap politik negara,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, beliau sudah mengarahkan jentera pilihanraya PN menyiasat sekiranya ada kerosakan di kawasan DUN lain.

“Laporan akan kami buat kepada pihak berkuasa sekiranya kami mendapati ada unsur samseng dalam kempen ini,” katanya.

Terdahulu, calon Pakatan Harapan (PH) di DUN Pengkalan Batu, Danish Zainuddin, juga mendakwa beberapa papan kempen dirosakkan dipercayai perbuatan khianat.

Kerosakan berkenaan didapati berlaku di Taman Rumpun Bahagia, Melaka Sentral, dan di kawasan perumahan Seri Siantan.

“Kami tidak mahu menuduh sesiapa, namun perkara ini sangat mencurigakan,” kata calon berusia 25 tahun itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.