
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengetuai jawatankuasa itu, hari ini mengesahkan pelantikan Dr Bhupinder Singh dari Hospital Pulau Pinang.
Bhupinder pernah menyertai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock.
Selain Bhupinder, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Kamardin Hashim, Perunding Kanan Hispatologi dari Universiti Malaya Dr Looi Lai Meng, pakar kriminologi M Sundramoorthy dan dua pegawai kanan Bukit Aman – Azari Abd Rahman dan Mohammad Abd Hamid – turut dinamakan sebagai ahli jawatankuasa terbabit.
Ahli lain yang diumumkan sebelum ini ialah Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican, Peguam Negara Idrus Harun dan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.
Sementara itu, Wan Junaidi berkata, bidang kuasa jawatankuasa khas itu akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri secepat mungkin.
“Kita akan mengemukakan dapatan dan cadangan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh enam bulan bermula dari tarikh jawatankuasa ini ditubuhkan (29 Okt),” katanya.
Adib, 24, anggota bantuan kecemasan dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah di luar Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018, ketika cuba memadamkan sebuah kereta yang terbakar semasa rusuhan tercetus susulan isu pemindahan rumah ibadat itu.
Beliau meninggal dunia pada 17 Dis 2018, tiga minggu selepas dimasukkan ke Institut Jantung Negara dalam keadaan kritikal.
Pada 27 Sept 2019, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Adib akibat perbuatan jenayah “dua atau lebih individu yang tidak dikenali”.
Menurutnya, kini terpulang kepada polis dan peguam negara untuk mengemukakan dakwaan.
Pada 13 Julai tahun lalu, bekas Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, tidak ada saksi yang boleh dipercayai ditemui dalam serangan itu yang menyebabkan kematian anggota bomba terbabit.