
Presidennya, Dr Koh Kar Chai menegaskan kepada pihak berkuasa bahawa penagih tidak seharusnya dilayan sebagai penjenayah dan berkata pusat pemulihan dadah seharusnya menjadi tempat untuk merawat bagi menghilangkan ketagihan dadah.
“Penagih dadah harus dilayan sebagai pesakit, bukan penjenayah,” katanya dalam kenyataan.
Pada 5 Nov lalu, seorang lelaki maut dipercayai dipukul di sebuah pusat pemulihan dadah dan akhlak di Changlun, Alor Setar, Kedah.

Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 8 malam oleh doktor selepas dibawa ke Hospital Jitra.
Ketua Polis Kedah, Kamarul Zaman Mamat, berkata mangsa sebelum itu dikatakan cuba melarikan diri dari pusat pemulihan berkenaan.
Dalam pada itu, Koh berkata walaupun pusat pemulihan mungkin diuruskan oleh profesional yang berkelayakan, warden yang menjalankan program pemulihan ini mungkin kekurangan “latihan profesional, kelayakan dan kualiti” yang diperlukan.
Beliau berkata kerajaan perlu memastikan semua langkah diambil untuk mengelakkan kejadian sebegitu berulang lagi.
Katanya, kerajaan perlu melihat pembaharuan yang diperlukan dalam menguruskan penagih dadah di negara ini.
“Kita mesti pertama sekali, menyedari bahawa ketagihan dadah adalah penyakit mental atau kaedah perubatan yang memerlukan campur tangan perubatan daripada pakar profesional dan terlatih dalam bidang amalan perubatan ini,” katanya.