Lesen syarikat arak Timah luput, kerajaan ‘jangan main politik’, kata Teresa Kok

Lesen syarikat arak Timah luput, kerajaan ‘jangan main politik’, kata Teresa Kok

Ahli Parlimen Seputeh berkata lesen pengeluaran Winepak tamat tempoh Oktober lalu dan masih belum diperbaharui pihak berkuasa.

Teresa Kok menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan nama arak Timah dikekalkan namun berkata terlalu banyak masa dibazirkan ‘untuk isu begitu kecil’.
PETALING JAYA:
Belum reda isu Timah, seorang Ahli Parlimen pembangkang menimbulkan tanda tanya mengenai masa depan syarikat pengeluar arak itu, Winepak Corporation Sdn Bhd.

Ini kerana lesen pengeluaran syarikat itu tamat tempoh pada Oktober lalu dan masih belum diperbaharui pihak berkuasa, kata Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

“Saya menggesa pihak berkuasa untuk tidak melengahkan (pembaharuan lesen pengeluaran itu) atau bermain politik. Sudah sampai masanya untuk menamatkan episod mengarut ini,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Winepak mengesahkan kepada FMT bahawa kerajaan bersetuju membenarkan jenama Timah dikekalkan untuk arak keluarannya yang telah memenangi anugerah antarabangsa.

Pengarah syarikat Kenny Yeo turut mengesahkan arak Timah bagaimanapun dikehendaki menyertakan label tambahan pada botolnya bagi menjelaskan jenama itu merujuk kepada bijih timah dan bukannya menyerupai nama sesiapa.

Isu arak jenama Timah mencetuskan kontroversi apabila kalangan pemimpin politik mendakwa ia mencemar imej Islam kerana, antara lain, Timah boleh dikelirukan dengan Fatimah al-Zahra, puteri kesayangan Nabi Muhammad.

Antara paling lantang membantah ialah Presiden PAS Abdul Hadi Awang walaupun timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, nama Timah bukan merujuk kepada mana-mana individu atau nama Islam.

Susulan apa yang dilihat sebagai tekanan politik, akhir bulan lalu, Winepak bersetuju mempertimbangkan untuk menukar nama dan imej pada label produk itu.

Namun, proses rundingan antara Winepak dan kerajaan memperlihatkan syarikat berkenaan hari ini dibenarkan mengekalkan Timah sebagai nama arak itu dengan syarat tertentu.

Teresa menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan syarikat berkenaan mengekalkan nama arak itu namun berkata terlalu banyak masa dibazirkan “untuk isu begitu kecil”.

“Tidak ada keperluan sama sekali untuk menteri Kabinet berkumpul membincangkan isu jenama arak Timah. Malaysia menjadi bahan ketawa antarabangsa (kerana isu ini),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.