Kes langgar kanak-kanak, pemandu van dibebaskan

Kes langgar kanak-kanak, pemandu van dibebaskan

Wanita tempatan berumur 31 tahun itu ditahan semalam bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

Pemandu van sekolah tidak menyedari kanak-kanak tujuh tahun itu sedang melintas di hadapan kenderaannya dan melanggar mangsa hingga parah di bahagian kepala dalam kejadian semalam.
PETALING JAYA:
Pemandu van sekolah yang ditahan kerana dipercayai melanggar seorang kanak-kanak tujuh tahun sehingga maut di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, semalam dibebaskan dengan jaminan polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Md Noor Aehwan Mohammad berkata, pihaknya membuka kertas siasatan berhubung kemalangan itu.

“Wanita warga tempatan berumur 31 tahun itu ditahan pada Jumaat dan dibebaskan hari ini,” katanya dalam kenyataan yang dipetik Sinar Harian.

Semalam, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Azman Shariat dilaporkan berkata, wanita itu ditahan bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian kira-kira 12.10 tengah hari itu, mangsa yang baru pulang dari sebuah sekolah kebangsaan dihantar ke tadika berkenaan, sebelum ke Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Polis berkata, pemandu terbabit tidak menyedari mangsa yang terakhir turun dari vannya sedang melintas di hadapan van dan melanggarnya hingga parah di bahagian kepala.

Mangsa dibawa ke unit kecemasan Nilai Medical Centre sebelum disahkan meninggal dunia.

Jenazah mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup yang tular, pemandu van yang menyedari kejadian itu segera memberhentikan kenderaannya dan meminta bantuan pemilik tadika.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.