ECRL siap lebih 25%, kata timbalan menteri

ECRL siap lebih 25%, kata timbalan menteri

Mohd Shahar Abdullah optimis projek ECRL melibatkan rangkaian rel sepanjang 665km boleh disiapkan mengikut jadual pada Disember 2026.

Jambatan sepanjang 2.3km sedang dibina merentasi sungai terpanjang di Semenanjung, iaitu Sungai Pahang hari ini. Ia adalah ciri unik di seksyen enam ECRL yang bermula dari Paya Besar, Kuantan ke Lanchang. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Pembinaan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang dijadualkan siap Disember 2026 sudah mencapai tahap kemajuan keseluruhan 25.09% setakat bulan lalu, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata, pihaknya optimis projek mega melibatkan rangkaian rel sepanjang 665km itu akan siap sepenuhnya mengikut jadual.

“Kontraktor telah tunjukkan prestasi yang baik, saya dimaklumkan sesetengah pakej ada yang awal daripada dijadualkan (siap), ada yang mengikut jadual,” katanya selepas menyampaikan hadiah Pertandingan Fotografi Discover ECRL Paya Besar 2021 di sini.

Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata, pembinaan ECRL di Pahang mencatatkan kemajuan lebih 28% setakat ini, dengan pembinaan struktur utama seperti terowong dan jambatan berjalan lancar.

Terdahulu, beliau dalam ucapannya memaklumkan kerja pengorekan Terowong Gambang sepanjang 608m mencapai tahap kemajuan 360m dan dijangka mencapai penembusan pada suku pertama tahun depan.

Katanya, kerja pembinaan cerucuk dan tiang bagi “super major bridge” sepanjang 3.88km, iaitu struktur utama di bawah fasa pembinaan di Paya Besar juga berjalan dengan baik.

“Setelah siap kelak, ia membolehkan ECRL melintasi kawasan berisiko banjir serta menyeberangi Sungai Kuantan dan Jalan Kuantan Sungai Lembing,” katanya sambil menambah tujuh stesen ECRL akan dibina di Pahang, iaitu Cherating, Kuantan Port City, KotaSAS, Paya Besar, Maran, Temerloh dan Bentong.

Beliau berkata, projek yang merangkumi stesen penumpang dan kargo itu juga dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan kelestarian alam sekitar dengan menggunakan pelbagai teknik dan teknologi bagi meminimumkan penebangan hutan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.