15 projek ‘sakit’ di Sabah, Sarawak gagal siap ikut jadual

15 projek ‘sakit’ di Sabah, Sarawak gagal siap ikut jadual

Menteri Kanan Kerja Raya berkata, kontraktor baharu akan dan telah dilantik bagi menyelesaikan projek itu.

Menteri Kanan Kerja Raya, Fadillah Yusof berkata, antara projek ‘sakit’ itu adalah pembinaan Hospital Petra Jaya di Sarawak yang terbengkalai.
KUCHING:
Sebanyak 15 projek infrastruktur Kementerian Kerja Raya di Sabah dan Sarawak diklasifikasikan sebagai projek “sakit” yang lewat pembinaan serta gagal disiapkan mengikut jadual.

Menteri Kanan Kerja Raya, Fadillah Yusof berkata, antara projek itu adalah pembinaan Hospital Petra Jaya (HPJ) di Sarawak yang terbengkalai sebelum ini.

Beliau berkata, kontraktor penyiap baharu juga telah dan akan dilantik kementeriannya bagi menyiapkan projek tersebut.

“Di Sabah dan Sarawak terdapat 15 projek sakit yang telah dibatalkan kontraknya dan akan dilantik kontraktor penyiap yang akan menyelesaikan projek tersebut,” katanya selepas majlis pecah tanah projek pembinaan jalan akses ke kawasan selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA).

Pada 26 Sept lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kontraktor penyelamat telah memulakan projek menyiapkan baki kerja terbengkalai HPJ sejak awal tahun ini dan hospital itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2024.

Mengenai jalan baharu ke KIA itu, Fadillah berkata, ia melibatkan pembinaan jalan sepanjang 6.2km dari persimpangan Stutong hingga ke persimpangan Bukit Berangan, di sini.

Beliau berkata, projek bernilai RM112.9 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2024.

“Projek ini amat penting bagi menangani trafik di kawasan sekitarnya kerana kawasan ini sering menjadi tumpuan kenderaan dari Samarahan, Serian serta bandar Kuching sendiri.

“Pembinaan jalan baharu ini juga diharap dapat membantu menjana ekonomi penduduk tempatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.