Tiba masa beralih daripada Norhizam, kata calon baharu DAP Pengkalan Batu

Tiba masa beralih daripada Norhizam, kata calon baharu DAP Pengkalan Batu

Muhammad Danish Zainudin berkata Melaka memerlukan calon muka baharu yang berupaya melontarkan idea bernas demi memberi manfaat kepada rakyat.

Calon DAP bagi kerusi DUN Pengkalan Batu, Muhammad Danish Zainudin berharap semua calon dapat bersaing secara sihat dan memastikan janji yang ditawarkan kepada pengundi akan memberi manfaat kepada mereka.
AYER KEROH:
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu mengakui bekas penyandangnya Norhizam Hassan Baktee adalah seorang wakil rakyat yang rajin namun sudah tiba masanya untuk pengundi beralih angin selepas beliau melompat daripada parti.

Muhammad Danish Zainudin, 25, berkata, Melaka memerlukan calon muka baharu yang berupaya melontarkan idea bernas dalam mewujudkan dasar baharu demi memberi manfaat kepada rakyat.

“Saya menghormati Norhizam kerana beliau amat rajin berkhidmat untuk rakyat di kawasannya.

“Bagaimanapun kita perlu bergerak ke hadapan. Adakah kita mahu politik yang lebih baharu dan segar atau sebaliknya? Rakyat Melaka harus menentukan siapakah yang boleh menjadi wakil terbaik untuk mereka dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya kepada FMT.

Danish berharap semua calon yang merebut kerusi DUN Pengkalan Batu bersaing secara sihat dan memastikan semua janji yang ditawarkan kepada pengundi akan memberi manfaat kepada mereka.

Mengenai isu kepercayaan orang Melayu terhadap DAP katanya, rakyat percaya parti itu sentiasa membela mereka tanpa mengira latar belakang kaum dan agama sepanjang 22 bulan mentadbir negeri bawah kerajaan PH.

Danish berkata, Pengerusi DAP negeri Tey Kok Kiew juga disenangi rakyat dan mereka berterima kasih dengan usahanya dalam menyelesaikan isu dihadapi sebelum ini.

“DAP sentiasa mengadakan pendekatan berbilang bangsa. Ia adalah parti yang memperjuangkan semua kaum dan agama. Kita hanya ingin menyediakan khidmat yang terbaik untuk rakyat Melaka,” katanya yang menambah parti itu sentiasa membuka ruang untuk belia berkhidmat kepada masyarakat.

Menurutnya, veteran DAP Lim Kit Siang hanya berusia 27 tahun ketika mula berkecimpung dalam arena politik dan pencalonan dirinya membuktikan bahawa DAP juga memberi fokus terhadap generasi muda.

Katanya, terdapat tiga fokus utama dalam agendanya untuk Pengkalan Batu, iaitu isu pekerjaan, pemerkasaan belia serta perjumpaan seminggu sekali dengan penduduk di kawasan terbabit.

Danish berdepan pertandingan lima penjuru di kerusi itu dan akan dicabar oleh Norhizam yang bertanding sebagai calon Bebas selain Kalsom Noordin (BN), Azrudin Idris (PN) dan Aluwi Sari (Perkasa).

Pada pilihan raya umum ke-14, Norhizam memenangi kerusi itu atas tiket DAP dengan memperoleh majoriti 2,756 undi menewaskan calon BN, Chua Lian Chye dan PAS, Ramli Dalip.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.