SPR mesyuarat 24 Nov bincang PRN Sarawak

SPR mesyuarat 24 Nov bincang PRN Sarawak

Mesyuarat antara lain bertujuan membincangkan tarikh penting PRN seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, pengundian dan daftar pemilih.

Ketua Menteri Abang Johari Openg pada 5 Nov mengumumkan Dewan Undangan Negeri Sarawak terbubar berkuat kuasa 3 Nov selaras dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, sekali gus memberi laluan kepada PRN Sarawak. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mesyuarat khas berkaitan urusan pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-12 akan diadakan pada 24 Nov di Kuching.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat yang akan dipengerusikan Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh bermula 9 pagi.

“Mesyuarat antara lain bertujuan membincangkan tarikh-tarikh penting PRN itu seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Ikmalrudin berkata, satu sidang media akan diadakan selepas mesyuarat itu.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 3 Nov berkenan menamatkan Proklamasi Darurat bagi Sarawak, yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lepas.

Penamatan Proklamasi Darurat itu secara langsung memberi laluan kepada PRN Sarawak diadakan selepas tempoh mandat kerajaan negeri tamat 6 Jun lepas.

Ketua Menteri Abang Johari Openg pada 5 Nov mengumumkan Dewan Undangan Negeri Sarawak terbubar berkuat kuasa 3 Nov selaras dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, sekali gus memberi laluan kepada PRN negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.