
Basha Felika bermaksud Komander Speedy dan gelaran itu diberikan oleh Maharaja Tewodros II dari Abyssinia, kini Ethiopia moden, kepada mendiang Kapten Tristram Speedy.
Menurut pakar sejarah, Bahru Zewde, Speedy bukan sahaja menjadi figura penting dalam sejarah Tanah Melayu, tetapi juga dalam sejarah awal Ethiopia.
Profesor Emeritus sejarah di Universiti Addis Ababa yang banyak menulis mengenai sejarah Ethiopia moden itu berkata, Basha Felika adalah gelaran yang diberikan oleh maharaja atas sumbangan khidmat Speedy kepada negara.
Zewde tertarik dengan komen berhubung kontroversi arak Timah serta imej Speedy pada label itu yang dipaparkan sebagai lelaki berjanggut dan memakai penutup kepala seolah-olah seorang lelaki Islam memakai kopiah.
“Topi itu biasanya dipakai oleh ketua-ketua di Ethiopia termasuk Maharaja Menelik II. Topi itu langsung tidak ada kaitan dengan kopiah yang dipakai oleh orang Islam,” katanya kepada FMT menerusi emel.

Maharaja Menelik II adalah tokoh yang dihormati dalam sejarah Ethiopia dan patungnya yang menaiki kuda terdapat di Addis Ababa.
Ia didirikan sebagai peringatan buatnya apabila berjaya menewaskan askar Itali bersama pasukan tentera yang dipimpinnya dalam peperangan pada 1896.
Zewde berkata, Speedy memainkan peranan penting ketika konflik tercetus antara Empayar British dan Abyssinia pada 1867.
“Beliau mengiringi ekspedisi hukuman British terhadap Maharaja Tewodros. Hasil yang kekal daripada perjalanan ini ialah dia menjadi wali anak maharaja, Alemayehu, selepas bapanya membunuh diri apabila ditangkap British.

“Kemudian, Putera Alemayehu mangkat di England dan disemadikan di tanah perkuburan diraja di Istana Windsor,” katanya.
Berdasarkan kisah kehidupan Speedy, beliau juga menghantar Alemayehu untuk melanjutkan pengajian ke England.
Di Tanah Melayu pula, Speedy adalah seorang superintendan polis di Pulau Pinang pada 1871 dan membantu meredakan perang antara geng di Larut.
Selain itu, beliau turut diberi penghargaan dalam menamakan Taiping, selepas membebaskan Larut daripada dua kumpulan kongsi gelap Cina.
Pengeluar wiski Timah, Winepak berdepan kecaman kerana menggunakan nama itu namun menjelaskan ia hanya bermaksud “timah” dalam bahasa Melayu untuk memperingati peranan logam itu dalam ekonomi negara sewaktu Tanah Melayu pernah menjadi pengeluar terbesar timah.

Katanya, gambar Speedy pada botol itu adalah untuk mengiktirafnya sebagai orang pertama yang memperkenalkan budaya minum wiski di Tanah Melayu.
Bagaimanapun, ia menjadi sasaran kecaman apabila nama Timah dikatakan nama singkatan Fatimah, anak Nabi Muhammad manakala sesetengahnya mendakwa imej Speedy kelihatan seolah-olah seperti lelaki Muslim yang mengenakan kopiah.