Monumen Asean di dasar laut ancam terumbu karang, aktivis beritahu kerajaan

Monumen Asean di dasar laut ancam terumbu karang, aktivis beritahu kerajaan

Aktivis berkata tindakan kerajaan menempatkan 11 monumen mercu tanda Asean di Pulau Bidong boleh memudaratkan ekologi marin.

Replika Menara Berkembar Petronas di dasar Pulau Bidong. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Aktivis membidas langkah kerajaan menempatkan 11 replika miniatur mercu tanda terkenal Asean di lokasi menyelam popular di dasar laut Terengganu kerana ia boleh mengancam terumbu karang di situ.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dikatakan membelanjakan RM300,000 bawah Tabung Kebudayaan Asean untuk menempatkan replika terbabit di Pulau Bidong.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Eko-Pelancongan dan Konservasi, Andrew Sebastian berkata, projek itu bertentangan dengan prinsip pelancongan marin dan wang terbabit sepatutnya dibelanjakan untuk usaha memulihara ekosistem di lokasi berkenaan.

Katanya, sebarang objek yang ditempatkan di dasar laut biasanya akan dimusnahkan oleh arus monsun yang kuat dan serpihannya akan merosakkan terumbu karang yang berharga.

Katanya, bahan digunakan untuk membuat objek itu mungkin boleh memudaratkan ekologi marin di sana.

Malaysia adalah sebahagian daripada segi tiga terumbu karang dan mempunyai kepelbagaian hidupan marin yang terbesar dunia.

Sebastian berkata, lokasi menyelam di negara ini adalah antara yang paling banyak dikunjungi pelancong.

“Kita tidak perlu menenggelamkan Titanic atau meletakkan muzium dasar laut untuk menarik orang datang ke sini,” katanya.

“Penyelam bukan ke sini untuk melihat replika bangunan ditempatkan di dasar laut. Ia mencemar pemandangan dan menghalang tumbesaran terumbu karang.

“Kebanyakan penyelam ingin mengelak melihat keadaan itu. Kini kita perlu melakukan pemantauan segera di kawasan terbabit supaya objek itu tidak musnah dan terkena terumbu karang.”

Antara 11 monumen tersebut ialah Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur-KLCC (Malaysia), Masjid Sultan Haji Omar Ali Saifuddien (Brunei) dan Jose Rizal Monument (Filipina).

Monumen lain ialah Cambodia Independence Monument (Kemboja), Patuxai Monument (Laos), Indonesia National Monument (Indonesia), Shwedagon Pagoda (Myanmar), Merlion (Singapura), Wat Arun Ratchawararam Ratchaworamahawihan (Thailand) dan Tran Quoc Pagoda (Vietnam).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.