Duti eksais cecair vape langkah ke depan, kata pemain industri

Duti eksais cecair vape langkah ke depan, kata pemain industri

Syarikat vape tempatan berkata pengenaan duti eksais ke atas cecair vape akan membantu kawal selia dan memberi manfaat kepada pelanggan.

Duti eksais RM1.20 per mililiter cecair nikotin vape akan dikenakan tahun depan.
PETALING JAYA:
Langkah kerajaan mengenakan duti eksais ke atas cecair vape mulai tahun depan akan membantu mengawal selia industri bernilai RM2 bilion itu, kata pemain industri tempatan.

Pengarah Eksekutif Nanostix Innovations Sdn Bhd, Shahabudeen Jalil, menyambut baik cadangan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz itu dalam Bajet 2022 baru-baru ini dengan berkata, duti eksais baharu itu akhirnya akan memberi manfaat kepada pengguna.

“Bagi pembayaran duti eksais, kita perlu nyatakan kepada pihak berkuasa setiap ramuan yang digunakan dalam penghasilan cecair itu.

“Nanostix misalnya menggunakan sistem pod tertutup yang menghalang sebarang kimia atau bahan yang menyalahi undang-undang dimasukkan; sistem itu memastikan produk kami telus dan selamat untuk pelanggan,” katanya kepada FMT.

Shahabudeen Jalil.

“Rangka kerja pencukaian bagi produk vape merupakan cara yang bagus untuk mengawal selia industri. Ia akan membolehkan para pemain bersaing dan industri menjadi tersusun. Ini sudah pun dilaksanakan di Indonesia dan serata Eropah.”

Kerajaan pada Januari tahun ini mengenakan duti eksais 10% ke atas semua rokok elektronik dan peranti merokok lain, termasuk vape.

Dalam Bajet 2022, duti eksais RM1.20 per mililiter cecair nikotin vake akan dikenakan.

Nanostix, yang sudah bertapak di banyak negara termasuk UK, Australia, Rusia dan Indonesia menyokong pengenaan duti eksais ke atas cecair vape sejak 2015 lagi.

Duti eksais bermakna Nanostix, serta pemain industri vape lain, akan menanggung kos lebih tinggi.

“Pengumuman kerajaan ini berita baik, meskipun ia akan menambah kos kami. Kami bagaimanapun merancang untuk menyerap sebahagian kos itu supaya pelanggan tidak terbeban,” katanya.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat gesaan supaya industri vape dikawal selia bagi melindungi pengguna serta membuka aliran hasil baharu dan peluang ekonomi bagi pihak berkuasa dan usahawan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.