Kes mayat bayi dalam peti sejuk: Wanita jalani hukuman penjara 6 tahun

Kes mayat bayi dalam peti sejuk: Wanita jalani hukuman penjara 6 tahun

Keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan selepas semua pihak menarik balik rayuan terhadap hukuman.

Noor Aqilah Abd Rahman dituduh menganiaya Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif, lima bulan, sehingga menyebabkan kecederaan sebelum memasukkannya ke dalam peti sejuk. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Seorang bekas pengasuh akan menjalani hukuman penjara enam tahun kerana menyebabkan kecederaan terhadap bayi berusia lima bulan yang kemudiannya dimasukkan ke dalam peti sejuk.

Ini susulan keputusan pihak pendakwaan dan tertuduh, Noor Aqilah Abd Rahman, untuk menarik balik rayuan masing-masing terhadap hukuman berkenaan.

Peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff hari ini memberitahu panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hanipah Farikullah bahawa anak guamnya itu memutuskan untuk tidak merayu bagi mengurangkan hukuman penjara terhadapnya.

Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Daud turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau juga akan menarik balik rayuan untuk menambah tempoh hukuman.

Hanipah yang bersidang dengan Abu Bakar Jais and Mariana Yahya kemudian membatalkan rayuan berkenaan sebelum mengesahkan hukuman penjara enam tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Noor Aqilah, 36, didakwa mengikut Akta Kanak-kanak kerana menganiaya Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif sehingga menyebabkan kecederaan.

Dia juga dituduh melupuskan mayat Adam Rayqal dengan niat menyembunyikan kematian mangsa dan menyebabkannya terlepas daripada hukuman.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di rumah sewanya di Jalan Nakhoda Kiri 3, Batu Caves, Kuala Lumpur antara 6.20 hingga 6.50 petang, 3 Julai 2018.

Noor Aqilah dihukum penjara tiga tahun dan enam bulan pada 14 Feb 2019 selepas mengaku salah atas tuduhan pertama. Dia juga didenda RM5,000 dan diarahkan melakukan kerja kemasyarakatan selama 200 jam.

Bagi tuduhan kedua, Noor Aqilah dihukum penjara 18 bulan dan denda RM5,000 selepas turut mengaku salah.

Bagaimanapun, Mahkamah Sesyen memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bererti tempoh keseluruhan yang perlu dilaluinya adalah penjara tiga tahun enam bulan.

Susulan rayuan oleh pihak pendakwaan, Mahkamah Tinggi menaambah tempoh hukuman kepada enam tahun dan mengekalkan hukuman lain pada 18 Ogos 2019.

Adam Rayqal dilaporkan hilang pada 3 Julai 2018 di rumah pengasuhnya di Batu Caves sebelum mayatnya ditemui dalam bahagian sejuk beku peti ais di kediaman itu pada malam sama.

Laporan bedah siasat menunjukkan Adam Rayqal meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala dan mengalami keretakan di tengkorak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.