
Digital Nasional Bhd (DNB), syarikat milik penuh kerajaan, memberitahu Reuters, bahawa tiada persetujuan dicapai dengan syarikat pengendali, sambil menyatakan “garis masa permulaan rundingan terlalu optimistik”.
Bagaimanapun, perkhidmatan rangkaian terbabit diharap dapat dilancarkan di tiga kawasan pusat bandar, termasuk di Kuala Lumpur.
Mengikut laporan, DNB sedang mencapai persetujuan rasmi jangka panjang pada awal tahun depan, dan perbincangan melancarkan rangkaian 5G masih berterusan.
“Sasaran ketika ini adalah mempunyai rangkaian langsung, meliputi sejumlah 500 kawasan menjelang penghujung Disember ini, dengan sekurang-kurangnya beberapa pengendali bersedia menyediakan rangkaian 5G kepada pengguna,” kata Ketua Pegawai Teknologi DNB, Ken Tan menurut laporan Reuters.
Namun, DNB tidak menyatakan apa yang akan berlaku sekiranya tiada pengendali bersetuju menjadi sebahagian penyedia rangkaian berkenaan ketika ianya dilancarkan.
Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa, berkata liputan 5G tersedia di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya, pada tahun pertama sebelum diperluas secara berperingkat sehingga mencapai liputan 36% ke seluruh negara.
Tahun depan, rangkaian terbabit akan dilancarkan di “negeri berkepadatan tinggi”, termasuk di Pulau Pinang, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak, katanya.
Sambil memetik sumber, Reuters melaporkan, syarikat pengendali yang sebelum ini melakukan pelaburan besar untuk menaik taraf perkhidmatan mereka bagi menyokong rangkaian 5G, kini bimbang pelan rangkaian itu akan berakhir secara “dimiliknegarakan sepenuhnya”, sekaligus menjejaskan perniagaan mereka.
Beberapa pihak berpandangan, rancangan Putrajaya berkenaan dijangka menghapuskan nilai pasaran berjumlah RM45 bilion membabitkan semua syarikat pengendali komunikasi.
Menerusi skim cadangan harga, syarikat komunikasi berkemungkinan terpaksa membayar lebih, sekiranya mereka melancarkan pelan secara berasingan.
Menurut dokumen dalaman dilihat Reuters, syarikat pengendali memohon “semakan meluas” membabitkan cadangan harga dikeluarkan DNB, selepas mengambil kira paras harga dikemukakan tidak mencerminkan “kecekapan kos seperti dijanjikan”.
Sumber berkenaan, melaporkan syarikat berkaitan mahu memastikan “DNB tidak berfungsi sebagai penyedia pukal dengan bertindak mengawal kapasiti 5G sepenuhnya atau mempunyai hasrat menjadi peruncit”.