Sanggup jual kilang RM20,000 nak masuk Malaysia, pekerja Bangladesh ditipu ejen

Sanggup jual kilang RM20,000 nak masuk Malaysia, pekerja Bangladesh ditipu ejen

Impian Mosharaf , 37, untuk membuka kilang aiskrim di negara ini menggunakan visa perniagaan bagaimanapun lebur selepas menerima layanan buruk dan diperas ejen.

Warga Bangladesh, Mosharaf, 37, (kiri) mendedahkan penipuan ejen yang digunakan bagi memasuki Malaysia pada sidang media bersama PPIM di Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki warga Bangladesh kerugian lebih RM20,000, selepas menjadi mangsa penipuan sindiket yang membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.

Mosharaf, 37, berkata, bagi membolehkan dia memasuki Malaysia, dia sanggup menjual kilangnya di Dhaka, Bangladesh dengan harga RM20,000 untuk dijadikan modal membuka sebuah kilang aiskrim di negara ini.

Namun, Mosharaf berkata, selepas sampai di negara ini dengan menggunakan visa perniagaan, dia menerima layanan yang sangat buruk, malah duitnya juga turut diperas oleh ejen hingga memusnahkan harapannya untuk memperoleh kehidupan lebih baik di negara ini.

Katanya, selepas enam bulan berada di Malaysia dia berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai tukang cuci di sebuah kondominium di ibu kota.

“Saya kena ugut untuk dikurung, tidak diberi makan dan minum selagi tidak bayar jumlah wang yang ejen minta. Rancangan mahu buka kilang aiskrim sudah tiada, dia (ejen) sudah tipu saya, dia sudah lari,” katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini hari ini.

Mosharaf yang sudah enam tahun berada di Malaysia berkata, dia masih mengalami masalah mendapatkan visa, meskipun permohonan telah diluluskan dan sudah dibayar namun visanya masih tidak diberikan lagi.

“Tahun kelima visa sudah lulus, sudah bayar kepada ejen tetapi sampai sekarang visa tidak dapat lagi, jadi sekarang ini saya tiada visa lagi,” ujarnya.

Menerusi pendedahan oleh PPIM dalam sidang media hari ini, difahamkan syarikat swasta tempatan yang terlibat, akan berurusan dengan syarikat atau sindiket di negara sumber untuk mengutip bayaran antara RM15,000 ke RM20,000 untuk setiap pekerja yang akan dibawa masuk.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan berkata, pekerja-pekerja ini dijanjikan dengan bayaran gaji yang lumayan tetapi akhirnya menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di negara ini.

“Mereka dipaksa membayar dengan nilai yang begitu tinggi semata-mata untuk datang bekerja di negara kita, syarikat swasta dan sindiket yang menguruskan pekerja asing mengaut keuntungan berjuta ringgit tetapi majikan dan pekerja asing mengalami kerugian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.