Rayu hukuman mati Nagaenthran, apa asas moral kerajaan, soal Nazri

Rayu hukuman mati Nagaenthran, apa asas moral kerajaan, soal Nazri

Ahli Parlimen Padang Rengas berkata penangguhan hukuman itu adalah sementara dan berharap Nagaenthran K Dharmalingam akan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

Nazri Aziz berkata, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menulis surat kepada Singapura untuk mendapatkan pengampunan terhadap Nagaenthran K Dharmalingam bawah semangat Keluarga Malaysia. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen BN Nazri Aziz mempersoalkan sama ada kerajaan mempunyai asas moral untuk merayu penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap seorang warga Malaysia yang sepatutnya menjalani hukuman gantung di Singapura hari ini atas sabitan mengedar dadah.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, sehingga Ogos 2020 terdapat 446 warga asing dan 472 rakyat Malaysia menunggu untuk dihukum mati.

“Isunya di sini ialah kita tidak mempunyai asas moral untuk merayu kepada mana-mana negara jika ada rakyat Malaysia yang didapati terlibat dalam pengedaran dadah dan meminta pengampunan kerana kita juga mempunyai hukuman mati,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, beliau berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob telah menulis surat kepada Singapura untuk mendapatkan pengampunan terhadap Nagaenthran K Dharmalingam, 33, bawah semangat Keluarga Malaysia.

“Dia memahami perasaan keluarga Nagaenthran K Dharmalingam,” katanya.

Nagaenthran K Dharmalingam.

Semalam, Mahkamah Tinggi Singapura membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap Nagaenthran yang sepatutnya menjalani hukuman gantung hari ini atas sabitan mengedar dadah.

Keputusan itu dimuat naik di Facebook oleh M Ravi, peguam kepada lelaki yang dihukum mati itu.

Nagaenthran ditahan pada 2009 kerana membawa masuk 42.7g heroin ke Singapura.

Dalam pada itu, Nazri berkata penangguhan hukuman itu adalah sementara dan berharap Nagaenthran akan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

Nazri seterusnya mempersoalkan adakah kerajaan mempunyai hak untuk mengambil nyawa seseorang individu.

“Kita perlu selesaikan perkara ini. Bagi saya, hukuman mati dibenarkan walaupun kita tahu membunuh nyawa adalah salah. Adalah tidak betul untuk mengambil nyawa. Ia berharga, ia dianugerahkan oleh Tuhan,” katanya.

Beliau seterusnya berkata, ia adalah satu ironi kerana orang ramai tidak dibenarkan mengambil nyawa seseorang tetapi kerajaan dibenarkan berbuat demikian.

“Apakah yang istimewa tentang kerajaan (dibenarkan mengambil nyawa)?” soalnya.

Beliau berkata, kuasa untuk membunuh nyawa diberikan oleh penggubal undang-undang dan kerajaan, seterusnya menyatakan sudah tiba masanya negara memansuhkan hukuman mati.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.