
Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), berkata hubungan Muafakat Nasional (MN) masih berjalan seperti biasa dan pertembungan PAS-Umno di Melaka dianggap sebagai pertandingan persahabatan.
“Kita tetap nak mendapatkan supaya perpaduan dalam kalangan kita, macam Ustaz Bilal (Ahmad Bilal Rahidin) sebut pertandingan kita persahabatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama calon PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam Ahmad Bilal Rahudin.
Idris ketika mengulas lanjut berkata, parti berkenaan bagaimanapun kekal dengan pendirian menjadi pendamai dalam menyatukan ummah, termasuk Umno dan Bersatu.
“Kami PAS tetap cuma nak satukan penyatuan ummah ini (Umno-Bersatu) orang lain nak kata apa terpulang, kita kekal dengan pendirian untuk penyatuan ummah,” katanya.
Beliau merujuk kenyataan Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin, yang menyifatkan keputusan PAS bersama dengan Perikatan Nasional pada PRN Melaka menunjukkan MN hanya wujud pada nama, bukan pada semangat.
Khaled dilaporkan berkata, laungan slogan “Muafakat Nasional Demi Perpaduan Ummah” hanyalah halwa telinga, namun hakikatnya dalam politik, kepentingan lain adalah keutamaan.
Katanya, Umno tegas tidak mahu kerjasama dengan Bersatu dan parti itu tidak memerlukan PAS untuk menjadi pendamai dengan Bersatu.