
Hakim Noorin Badaruddin berkata, sebagai ketua negeri, keputusan yang dibuat oleh Mohd Ali Rustam sama ada untuk membubarkan DUN itu tidak boleh dipertikai (tidak boleh dicabar di mahkamah).
“Pembubaran badan perundangan tidak boleh dipertikai dan oleh itu tidak boleh dikenakan semakan kehakiman,” katanya.
Noorin berkata, Perlembagaan Negeri Melaka membenarkan Ketua Menteri yang tidak lagi mendapat sokongan majoriti daripada ADUN untuk membuat permintaan kepada Yang Dipertua Negeri bagi pembubaran DUN.
Katanya, ini yang berlaku pada 4 Okt apabila Sulaiman menghantar surat kepada Yang Dipertua Negeri (Ali Rustam).
“Susulan permintaan oleh Sulaiman (responden pertama), Yang Dipertua Negeri (responden keempat) telah mempertimbangkan dan bersetuju dengan pembubaran DUN Melaka ke-14 berkuatkuasa 4 Okt kerana beliau diberi kuasa di bawah Perkara 19 (2) perlembagaan,” katanya.
Noorin bersetuju bahawa Yang Dipertua Negeri boleh menolak untuk membubarkan DUN tetapi tidak menggunakan budi bicaranya untuk berbuat demikian.
“Mahkamah mendapati sejak awal lagi tidak timbul persoalan mengenai nasihat yang diberikan oleh Sulaiman kepada Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan badan perundangan.
“Terdapat permintaan yang dibuat dan Yang Dipertua Negeri boleh mengambil langkah mengikut Perkara 7(4) perlembagaan.
“Namun Yang Dipertua Negeri telah menggunakan kuasanya di bawah Perkara 19(2) perlembagaan. Ini adalah proses yang dilakukan Yang Dipertua Negeri,” katanya.
Pada 22 Okt, Adly yang juga Ketua Menteri Melaka di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) mendakwa Sulaiman hanya memperolehi sokongan daripada 11 ADUN selepas empat ADUN menarik sokongan terhadap beliau dan PH mempunyai 13 daripada 28 kerusi DUN.
Beliau memohon deklarasi pembubaran oleh Yang Dipertua Negeri pada 4 Okt itu dibatalkan serta merta kerana pemberitahuan warta yang dibuat pada hari berikutnya adalah terbatal dan tidak sah atas dasar ia dilakukan tanpa pengetahuan Yang Dipertua Negeri.
Adly memohon mahkamah membatalkan writ pilihan raya yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 18 Okt dan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 Nov sementara menunggu keputusan mahkamah.
Bekas speaker Ab Rauf Yusof dan SPR turut dinamakan sebagai responden.
Kerajaan negeri Melaka tumbang selepas tiga exco dan seorang ADUN daripada Umno menarik sokongan terhadap Sulaiman.
Proses penamaan calon bagi 28 kerusi DUN itu diadakan pada Isnin dan tarikh mengundi awal pada 16 Nov, manakala hari pengundian pula pada 20 Nov.
Sementara itu, peguam Adly, Razlan Hadri Zulkifli, memberitahu wartawan beliau akan menunggu arahan selanjutnya daripada anak guamnya untuk tindakan susulan.
Salah satu pilihannya adalah memfailkan rayuan dalam tempoh 30 hari bermula hari ini di Mahkamah Rayuan.