
Perbelanjaan terbesar dibuat oleh Jabatan Perdana Menteri (RM1.1 juta), diikuti Kementerian Perpaduan Negara (RM589,618) dan Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (RM425,130).
Perkara itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad dalam jawapan bagi pertanyaan lisan di Parlimen, hari ini.
Latiff berkata demikian menjawab pertanyaan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) yang meminta kerajaan menyatakan satu persatu secara terperinci jumlah kos membaiki pejabat anggota Kabinet membabitkan 69 orang menteri dan timbalan menteri dari tempoh 2020 hingga kini.
“Sepanjang tahun 2020 dan 2021, sebanyak 14 kementerian/jabatan telah membuat kerja-kerja penyelenggaraan berkala dengan kos keseluruhan sebanyak RM4.004 juta,” katanya dalam jawapan bagi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Latiff berkata, penyelenggaraan pejabat-pejabat menteri dan timbalan menteri merupakan salah satu dari keperluan dalam pengurusan fasiliti sesebuah bangunan.
Beliau berkata, ini bagi memastikan semua fasiliti dan kemudahan pejabat tersebut sentiasa terpelihara dalam keadaan yang baik dan kekal berfungsi sebagaimana yang dikehendaki.
“Penyelenggaraan bagi pejabat menteri dan timbalan menteri sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa.
“Dalam hal ini, antara kos penyelenggaraan yang terlibat adalah membaik pulih sistem pendawaian yang rosak, siling yang rosak, karpet dan perabot yang usang serta memasang sistem telesidang video di pejabat dan bilik mesyuarat anggota pentadbiran,” katanya.
Sementara itu perbelanjaan lain seperti Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi sebanyak RM398,640, Kementerian Wilayah Persekutuan (RM392,202) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (RM365,240).