Anjing peliharaan mati, lelaki menang rayuan saman terhadap MBPP

Anjing peliharaan mati, lelaki menang rayuan saman terhadap MBPP

Mahkamah Rayuan berkata rayuan Majlis Bandaraya Pulau Pinang terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang membenarkan samannya didengar adalah tanpa merit.

Chendeladevan Kuppusamy dan anjing peliharaannya Butcho, yang ditangkap oleh penangkap anjing MBPP pada 2018 dan kemudian ditemui mati.
GEORGE TOWN:
Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan saman seorang lelaki terhadap Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang kematian anjing peliharaannya kerana penangkap anjing PBT itu pada 2018 untuk dibicarakan di Mahkamah Sesyen.

Chendeladevan Kuppusamy, 52, sebelum ini menyaman MBPP kerana cuai sehingga menyebabkan kematian anjing peliharaannya, Butcho selepas ditangkap dalam satu operasi di di Pantai Batu Ferringhi dua tahun lalu.

Mahkamah Sesyen sebelum ini menggugurkan kesnya yang difailkan pada 30 Julai 2018 atas alasan teknikal, antaranya Butcho adalah anjing yang tidak berlesen ketika ditangkap.

Chendeladevan yang dibantu oleh peguam pro-bono membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi dengan menyatakan anjingnya dilesenkan sejak 2014 dengan mendakwa kecuaian berlaku di pihak MBPP.

Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan rayuan untuk samannya didengar. Bagaimanapun MBPP merayu terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

Hari ini, panel rayuan diketuai oleh Mohamad Zabidin Mohd Diah dan dua yang lain sebulat suara bersetuju bahawa Chendeladevan mempunyai hak untuk menyaman MBPP. Abu Bakar Jais dan See Mee Chun turut bersidang bersama Zabidin.

Zabidin, melalui aplikasi Zoom berkata, rayuan oleh MBPP tidak mempunyai merit dan memerintahkan perbicaraan berlangsung di Mahkamah Sesyen. Beliau seterusnya mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Peguam Marcia Geraldine Lopez, Fam Han En dan Yu Haan Xi mewakili Chendeladevan, manakala Karin Lim dan Nicholas Lim mewakili MBPP.

Pada 28 Feb 2018, penangkap anjing MBPP menangkap Butcho di pantai awam Batu Ferringhi berhampiran Golden Sands Resort sebagai sebahagian daripada operasi menangkap anjing liar berikutan aduan wujud serangan anjing.

Bagaimanapun, apabila Butcho dibawa pergi, pelancong menegur MBPP dan mengatakan anjing itu “jinak dan tidak berbahaya”. Terdapat protes besar-besaran di pantai berkenaan apabila Butcho diisytiharkan mati kemudian oleh majlis berkenaan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Chendeladevan berkata, saksi melihat Butcho diheret pada leher ke dalam lori MBPP walaupun mempunyai tag anjing.

Dalam pernyataan pembelaannya, MBPP berkata, penangkap anjing telah menembak Butcho dengan pelali seperti yang dibenarkan bawah undang-undang. MBPP berkata, anjing itu melarikan diri ke laut selepas ditembak, memaksa penangkap anjing mengharung air untuk menyelamatkannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.