
Yaacob Md Sam yang mempengerusikan panel hakim berkata, Sri Ram yang kembali menjadi pengamal undang-undang, adalah orang yang layak dan sesuai dilantik sebagai timbalan pendakwa raya (TPR) kanan bagi mengendalikan kes bawah Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah.
“Kami tidak syak lagi Sri Ram lebih layak untuk menjadi TPR kanan,” kata Yaacob, yang bersidang bersama Lee Heng Cheong dan Che Mohd Ruzima Ghazali.
Yaacob berkata, Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah adalah peruntukan tersendiri bagi Peguam Negara merangkap pendakwa raya untuk melantik orang yang berkelayakan sebagai TPR atau TPR kanan.
“Peruntukan ini dipinda bagi membolehkan Peguam Negara atau pendakwa raya melantik TPR berpengalaman untuk menjalankan kes yang rumit,” katanya.
Beliau berkata “makna tatabahasa yang jelas dan biasa” bagi perkataan dalam Seksyen 376(3) mesti ditafsirkan selaras dengan pelantikan TPR atau TPR kanan.
Ia juga tidak penting sama ada TPR secara langsung dijadikan TPR kanan.
“Kemunculan perkataan TPR kanan di bawah Seksyen 378 Kanun Tatacara Jenayah juga tidak menjadikan pelantikan Sri Ram sebagai tidak sah atau terbatal,” katanya.
Yaacob berkata, adalah jelas bahawa dalam meminda Seksyen 376 (3), Parlimen berhasrat untuk memberi kuasa kepada Peguam Negara untuk melantik mana-mana orang yang layak dan sesuai untuk dijadikan TPR kanan.
Beliau berkata, mahkamah juga bersetuju dengan Mahkamah Tinggi bahawa Seksyen 376(3) tidak mengisytiharkan bahawa wajar, TPR mesti datang daripada perkhidmatan kehakiman dan perundangan atau menjadi penjawat awam.
Najib dan Shafee juga tidak mempunyai asas untuk mendakwa pelantikan Sri Ram mempunyai percanggahan kepentingan apabila seorang peguam yang menjalankan amalan perundangan dilantik sebagai TPR kanan.
Beliau berkata, kedua-duanya juga gagal menunjukkan bahawa Peguam Negara telah melanggar mana-mana undang-undang bertulis atau telah bertindak dengan niat jahat untuk melantik Sri Ram.
“Kami membuat kesimpulan bahawa Mahkamah Tinggi adalah betul dalam keputusannya dan tidak ada keperluan untuk campur tangan mahkamah rayuan,” katanya, sambil menambah bahawa tiada kos diberikan kepada peguam negara kerana ia adalah kes berkepentingan awam.
Tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman oleh Najib dan Shafee untuk menyingkirkan Sri Ram sebagai TPR kanan dalam kes berkenaan.
Selain mewakili Najib, Shafee turut memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Sri Ram dalam perbicaraan kesnya sendiri membabitkan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta.
Shafee mewakili Najib, dan peguam Harvinderjit Singh mewakili Shafee dalam kes rayuan semakan kehakiman, manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Liew Horng Bin mewakili Peguam Negara.