PRN Melaka: Perhimpunan, perarakan dilarang esok, kata SPR

PRN Melaka: Perhimpunan, perarakan dilarang esok, kata SPR

Hanya calon, pencadang dan penyokong dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmalrudin Ishak.

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya membuat persiapan akhir di Dewan Kasturi Japerun sebelum berlangsungnya proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, esok. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong parti politik bertanding tidak dibenarkan di mana-mana pusat penamaan calon sepanjang tempoh penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmalrudin Ishak dipetik Bernama berkata, hanya calon, pencadang dan penyokong dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon.

“Penyokong-penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal-bakal calon tidak dibenarkan hadir ke pusat penamaan calon,” katanya dalam kenyataan.

Ikmalrudin berkata calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua daripada mereka; atau mana-mana seorang daripada mereka, boleh mengemukakan kertas penamaan calon bermula 9 hingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 28 pusat penamaan calon.

Katanya, calon yang mewakili mana-mana parti politik diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan kertas penamaan calon.

Beliau juga berkata bagi memudahkan proses penamaan calon, bakal calon yang ingin bertanding juga diingatkan agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Melaka sebelum hari penamaan calon esok.

“Selain itu bakal-bakal calon juga disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal. Perlu diingatkan bahawa resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran.

“Ini bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, SPR juga menyeru semua calon terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tataetika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, polis, Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan pada hari tersebut.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov, ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Okt lepas susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.