Penduduk Sabah gusar isu banjir, gangguan bekalan air

Penduduk Sabah gusar isu banjir, gangguan bekalan air

Hujan lebat mengakibatkan banjir, yang kemudian mencetuskan gangguan bekalan air.

Seorang pakar ekonomi berkata, banjir dan pemotongan air menghalang usaha merangsang ekonomi. (Gambar Adrian Lasimbang)
KOTA KINABALU:
Menjelang hujung tahun, banyak perancangan dibuat oleh Ashley Daniel Koh dan keluarganya, memandangkan mereka akan meraikan Krismas dan Tahun Baharu.

Namun hujung tahun juga membawa ketidaktentuan, terutamanya dengan kedatangan ribut dan hujan lebat yang dijangka pada musim monsun.

“Masalah dengan hujan lebat di sini adalah ia mengakibatkan banjir di kawasan kami, yang kemudian menimbulkan gangguan pada bekalan air,” katanya kepada FMT.

Koh tinggal bersama isteri dan anak perempuannya di Ramayah, Penampang, antara daerah Sabah yang terjejas teruk akibat banjir tahunan. Tahun ini sahaja, Penampang telah dilanda banjir sekurang-kurangnya lima kali.

Banjir paling dahsyat berlaku pada September. Walaupun rumah Koh tidak terjejas, rumah-rumah di kawasan lain tidak bernasib baik.

Lebih buruk lagi, usaha pemulihan terhalang dengan pemotongan air yang berlaku setiap kali banjir melanda Penampang dan daerah lain.

Catuan boleh bertahan dari beberapa hari hingga beberapa minggu. Gangguan air malah menjejaskan banyak kawasan perumahan, komersial dan perindustrian di ibu negeri itu.

Timbalan Ketua Menteri Bung Moktar Radin sebelum ini menjelaskan bekalan air terpaksa diputuskan sementara di kawasan tertentu berikutan air banjir, lumpur dan puing memasuki loji rawatan air.

Bung, yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata gangguan itu perlu dilaksanakan bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan, tetapi ia akan mengambil masa sehingga sebulan untuk membaiki peralatan kerana alat ganti perlu dibawa masuk dari luar.

Rangkaian bekalan air yang usang

Beliau kini mengetuai jawatankuasa khas untuk mengkaji punca sebenar banjir kilat yang kerap berlaku di negeri itu, terutamanya selepas hujan lebat.

Tetapi banjir bukan satu-satunya punca di sebalik gangguan air berterusan di negeri berkenaan.

Rangkaian bekalan air dibelenggu paip-paip dan peralatan usang, antara lain, menyebabkan kebocoran dan memerlukan pembaikan yang kerap.

Pakar ekonomi James Alin berkata, selain menjadi punca kegusaran rakyat, gangguan air menjejaskan potensi perniagaan Sabah kerana ia tidak menggalakkan pelabur datang ke negeri itu.

“Ekonomi negeri sepatutnya berada dalam mod pemulihan, tetapi dengan kekurangan air ini, pemulihan tidak lancar,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, pemotongan air berterusan yang dikenakan oleh Jabatan Air Negeri Sabah di kawasan perumahan dan perindustrian secara tidak langsung menghalang usaha kerajaan pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor merangsang ekonomi.

Rugi RM300 juta daripada kebocoran, kerosakan dan kecurian

“Kerajaan sekarang mesti meningkatkan usaha untuk menyelesaikan isu-isu lama berkaitan air tidak terhasil (NRW),” kata Alin.

“NRW pada masa Hajiji menjadi Ketua Menteri dianggarkan kira-kira RM300 juta, atau bersamaan 52% kehilangan air terawat akibat kebocoran, kerosakan dan kecurian air yang berleluasa di sepanjang saluran pengagihan.

“Sudah tentu, apabila berlaku banjir, takungan air akan terjejas akibat puing, tetapi bencana alam patutnya hanya menjadi halangan sementara dan tidak boleh dijadikan alasan untuk pemotongan air.”

Ahli ekonomi politik, Firdausi Suffian bersetuju dengan Alin, dan berkata, bekalan elektrik yang tidak boleh dipercayai juga menyebabkan pelabur melihat ke luar Sabah.

“Bagaimana kita hendak menarik pelabur dengan bekalan air dan elektrik yang tidak stabil, walaupun di pinggir bandar, di mana kebanyakan tapak perindustrian kita berada?” katanya kepada FMT.

Untuk kerajaan negeri mencapai rancangan pembangunan Sabah Maju Jaya, katanya, infrastruktur asas seperti projek utiliti dan jalan raya perlu diutamakan berbanding projek mega.

“Ia menjadi asas dan tonggak untuk menyokong projek mega dan perniagaan tempatan – infrastruktur suboptimum membawa kepada hasil suboptimum bagi ekonomi kita.

“Keutamaan kita mesti tepat. Bukan belanjawan yang terhad, tetapi cara menguruskannya paling penting,” katanya.

Presiden Persatuan Majikan Sabah Yap Cheen Boon berkata, gangguan air secara tiba-tiba yang kerap terus memberi impak kepada perniagaan dan harus diringankan dengan lebih berkesan.

“Masalah utamanya adalah banjir besar yang berlaku selepas hujan lebat,” katanya.

“Ketidaktentuannya bukan sahaja mengakibatkan kesengsaraan mental, seperti ketidakupayaan melakukan perjalanan kerana jalan ditenggelami air, tetapi terdapat juga kesan ekonomi.

“Kilang atau pejabat terpaksa ditutup kerana tidak dapat diakses atau kekurangan kakitangan,” katanya.

Jalan penyelesaian diperlukan segera

“Sekarang adalah masa untuk pulih daripada kemerosotan yang disebabkan oleh wabak. Isu ini perlu diselesaikan segera,” katanya.

Selepas banjir besar di Penampang dan daerah lain pada September, Bung memberitahu DUN bahawa sudah tiba masanya untuk Sabah merombak perkhidmatan airnya dan menangani masalah air di negeri itu.

Beliau mengakui perkhidmatan air, yang terletak bawah bidang kuasa Jabatan Air Negeri Sabah, dan peralatannya yang sudah usang, membimbangkan.

Tambahnya, beliau telah membincangkan cadangan untuk menyelesaikan masalah air Sabah dengan Menteri Kewangan negeri.

Pada Januari tahun ini, Bung juga telah mencadangkan penswastaan perkhidmatan air sebagai penyelesaian jangka panjang bagi isu itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.