
Ini susulan dakwaan perwakilan PAS Pulau Pinang, Abdul Razib Abd Rahim, yang memberitahu muktamar PAS semalam bahawa terdapat usaha untuk “mengurangkan” bilangan orang Melayu di negeri itu melalui pembangunan sedemikian.
Statistik menunjukkan Bumiputera kekal menjadi penduduk majoriti di Pulau Pinang.
ADUN Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz berkata, realitinya adalah orang Melayu berjaya di Pulau Pinang hasil projek infrastrukturnya.
“Hujah yang amat dangkal sekali apabila mengaitkan perancangan negeri demi kemudahan dan kesejahteraan serta kemajuan negeri dikotori dengan elemen perkauman yang sempit,” kata Ketua Amanah Bahagian Balik Pulau itu kepada FMT.
“Mengaitkan pembinaan lebuh raya, terowong, Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) dan hab peternakan khinzir sebagai ‘senjata’ kerajaan negeri yang dikatakan DAP itu untuk menjadikan orang Melayu minoriti sebenarnya menghina bangsa Melayu itu secara tidak sedar,” katanya.
“Apakah semua atau sebahagian besar orang Melayu sekarang ini tinggal atau menduduki tanah rizab kerajaan?
“Usahlah memperbodohkan orang Melayu di Pulau Pinang dengan pemikiran dan pendekatan yang amat sempit.
“Kerajaan Pulau Pinang tidak pernah berfikiran seperti itu malah telah sekian lama menggamit orang Melayu (dari) negeri lain di utara Malaysia dan pantai Timur untuk membina kehidupannya di Pulau Mutiara kerana berjaya mewujudkan peluang pekerjaan di sektor industri perkilangan yang banyak untuk semua, terutamanya orang Melayu.”
ADUN Permatang Pasir Muhammad Faiz Fadzil, anak kepada bekas Presiden PAS, Fadzil Noor, berkata dakwaan itu liar dan tidak matang.
Berkenaan isu ladang penternakan babi, Faiz berkata, ia adalah langkah kerajaan negeri untuk mewujudkan sistem penternakan yg terurus.
“Masalah pencemaran sungai akan berpanjangan jika penternakan babi tidak dikawal dengan baik,” katanya.
“Bagaimana pula kedudukan penternakan babi di Kelantan, Terengganu dan Kedah yg tidak diuruskan dengan baik. Di mana suara PAS?”
Beliau turut berkata, tiada rancangan bagi membina ladang ternakan babi mega di Pulau Pinang.
Kata Faiz lagi, komitmen Pulau Pinang terhadap hal ehwal agama Islam dicerminkan dalam belanjawan tahunannya, dengan peningkatan 400%, atau tambahan RM64.16 juta, dalam peruntukan sejak 2008.
“Terbaru bagi 2021 ini, kerajaan Pulau Pinang menyumbang RM 1.25 juta bagi tujuan mengimarahkan masjid-masjid di seluruh negeri,” katanya.
“Oleh itu, PAS perlu berhenti memainkan isu yg regresif (seperti) sentimen kaum ini yang tidak lagi relevan dengan pembangunan negeri dan kehidupan rakyat.”