KKM mungkin uji Ivermectin untuk pencegahan, rawatan awal Covid-19

KKM mungkin uji Ivermectin untuk pencegahan, rawatan awal Covid-19

Ini susulan dapatan Institut Penyelidikan Klinikal bahawa ubat itu tidak berkesan dalam merawat pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital dan berisiko tinggi.

Kajian oleh Institut Penyelidikan Klinikal mendapati ubat antiparasit, Ivermectin, tidak menunjukkan perbezaan signifikan terhadap kemasukan pesakit Covid-19 ke unit rawatan rapi. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) mempertimbangkan melakukan satu lagi kajian berkaitan Ivermectin, kali ini berhubung keberkesanannya sebagai profilaksis bagi golongan berusia 18 tahun ke atas, selain rawatan awal untuk Covid-19.

Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal Dr Kalaiarasu M Peariasamy berkata, sebaik seorang pesakit disahkan positif Covid-19, penyelidik mungkin merekrut kontak rapatnya yang belum disahkan positif tetapi berkemungkinan telah didedahkan kepada virus berkenaan untuk tujuan kajian ini.

Beliau yang memberi taklimat media berkenaan kajian keberkesanan Ivermectin (I-tech), merujuk kepada dakwaan bahawa Ivermectin lebih berguna sebagai agen profilaktik.

Institut itu sebelum ini melaksanakan kajian terhadap keberkesanan Ivermectin dalam merawat pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital dan berisiko tinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kajian itu mendapati ubat antiparasit itu tidak menunjukkan perbezaan signifikan dalam kemasukan ke unit rawatan rapi.

Justeru katanya, KKM tidak mencadangkan penggunaan Ivermectin untuk merawat pesakit seperti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.