Calonkan Adly Ketua Menteri Melaka, Guan Eng gesa PH

Calonkan Adly Ketua Menteri Melaka, Guan Eng gesa PH

Setiausaha Agung DAP itu berkata, PH tidak lagi mampu “menambah kesilapan”.

Adly sepatutnya menjadi pilihan PH untuk jawatan Ketua Menteri Melaka, kata Lim Guan Eng.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, menggesa Pakatan Harapan (PH) menamakan Pengerusi PH Melaka Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri, menegaskan gabungan itu tidak mampu “menambah kesilapannya”.

Lim berkata, PH telah pun membuat kesilapan apabila menerima bekas Ahli ADUN Umno, Idris Haron dan Nor Azman Hassan, yang tindakan mereka telah mengakibatkan kejatuhan kerajaan Melaka.

“Kita tidak boleh membuat kesilapan seperti itu lagi. Sebab itulah kita mesti menamakan Adly sebagai calon Ketua Menteri,” katanya kepada FMT.

Semalam, Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, tidak menamakan calon gabungan itu untuk jawatan Ketua Menteri.

Tindakan itu disifatkan seorang ahli sains politik sebagai “membuka pintu” untuk Idris – yang juga bekas Ketua Menteri Melaka – merebut jawatan itu sekiranya PH menang pilihan raya negeri (PRN) pada 20 Nov.

DAP sebelum ini membantah PH menerima mana-mana empat individu yang terlibat dengan kejatuhan kerajaan terdahulu, namun membayangkan ia terpaksa akur dengan keputusan PKR serta Amanah.

“PKR dan Amanah mesti menjelaskan isu (penerimaan Idris dan Nor Azman) kepada rakyat,” kata Lim, menegaskan kegagalan berbuat demikian mampu menggugat kepercayaan rakyat terhadap PH.

Adly, yang juga Naib Presiden Amanah, menjadi Ketua Menteri dari 2018 hingga Mac 2020, apabila tindakan lompat parti mengakibatkan kejatuhan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.

Jawatan itu kemudian dipegang Sulaiman Mohd Ali dari Umno.

Idris menjadi Ketua Menteri sebelum Adly, dari 2013 hingga 2018 apabila PH memenangi pilihan raya.

Beliau juga ADUN Sungai Udang dari 2018 sehingga DUN dibubarkan, bulan lalu.

Idris diterima sebagai ahli PKR dan dinamakan untuk bertanding di Asohan pada PRN 20 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.