
Timbalan Ketua Menteri Sarawak Douglas Uggah Embas berkata keputusan itu juga dicapai selepas mendapatkan pandangan dan merujuk kepada pelbagai pihak berkuasa berkaitan.
Beliau berkata musim landas dijangka pada Januari dan Februari tahun hadapan dan mengadakan pilihan raya pada musim hujan akan menjadi satu perkara sukar terutamanya pada ketika banjir berlaku.
Uggah berkata pilihan raya negeri juga tidak boleh menunggu sehingga situasi Covid-19 pulih di negeri itu.
“Kes Covid-19 kita (Sarawak) pada ketika ini pada sekitar 400 ke 500 kes sehari. Kenaikan itu adalah disebabkan oleh Varian Delta yang mudah berjangkit.
“Dan tidak dapat ditentukan, varian baharu yang lebih berbahaya mungkin akan ada pada masa hadapan. Pada ketika kita adakan pilihan raya, kita tidak boleh ambil mudah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada 5 Nov, Ketua Menteri Abang Johari Openg berkata Dewan Undangan Negeri Sarawak telah dibubarkan berkuat kuasa 3 Nov, bagi membolehkan diadakan pilihan raya negeri.
Abang Johari berkata pembubaran itu selaras dengan perkenan Yang di-Pertuan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bahawa Proklamasi Darurat bagi Sarawak ditamatkan pada hari yang sama.