Kumpulan wanita selar komen anak Zahid mengenai kemiskinan haid

Kumpulan wanita selar komen anak Zahid mengenai kemiskinan haid

Ia adalah isu yang wujud dan lazim di negara ini, kata WAO sebagai respons kepada komen Nurulhidayah yang dianggap tidak sensitif.

Menurut kumpulan wanita, kemiskinan haid bukan isu remeh kerana ramai gadis yang kurang bernasib baik tidak boleh pergi ke sekolah apabila mereka datang haid.
PETALING JAYA:
Kemiskinan haid adalah isu utama di negara ini, dan dengan menafikan kewujudannya, Nurulhidayah Zahid bercakap dari kedudukan yang memiliki keistimewaan, kata kumpulan wanita.

Pegawai penyelidik dan advokasi Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Isabel Chung tidak bersetuju dengan anak perempuan Presiden Umno itu, dan berkata WAO kenal wanita yang tidak mampu membeli tuala wanita.

“Kami menemui dan bercakap dengan wanita dan gadis yang menggunakan barangan yang tidak bersih seperti cebisan kain dan sabut kelapa bagi menggantikan tuala wanita.

“Jadi, kami tahu bahawa kemiskinan haid adalah isu yang wujud dan lazim di negara ini,” katanya.

Namun akuinya, tiada statistik dan data tersedia mengenai perkara ini.

Chung berkata, ketidakmampuan membeli produk kebersihan wanita secara langsung menyumbang kepada wanita dan gadis terlepas pekerjaan dan pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar.

“Pendek kata, kemiskinan haid adalah isu yang membawa kesan jangka panjang untuk kesihatan dan pendidikan bagi semua individu yang datang haid.

“Ia tidak sepatutnya dilihat sebagai isu yang tidak penting,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada laporan Malaysiakini di mana Nurulhidayah, anak kepada Ahmad Zahid Hamidi, menafikan betapa seriusnya kemiskinan haid di Malaysia dan mendakwa bahawa tuala wanita tidak memakan kos tinggi.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa wanita terpaksa hamil untuk mengelakkan haid.

“Saya peka tentang isu ini (kehamilan untuk elak haid). Tetapi ia tidak berlaku di Malaysia. Mana harga tuala wanita yang tinggi itu?

“Saya membuat kajian mengenai tuala wanita, dan melancarkan jenama tuala wanita jadi saya tahu,” katanya dipetik sebagai berkata.

Bagaimanapun, Chung berkata, hakikatnya adalah kemiskinan haid wujud, dan kesihatan serta kesejahteraan gadis dan wanita di Malaysia harus diutamakan pada masa krisis, tanpa mengira politik dan parti mana yang berkuasa.

“Akses kepada kemudahan yang mencukupi untuk menguruskan kebersihan ketika haid perlu diberi perhatian sewajarnya. Penyelesaian praktikal dan mampan mesti dilaksanakan untuk menangani isu ini.”

Tambahnya, pengumpulan data menyeluruh mengenai punca kemiskinan haid dan taboo mengenai haid boleh memperdalam pemahaman rakyat mengenai masalah ini dan membantu pembangunan tindak balas yang komprehensif dan mampan.

Bulan Sisters, kempen yang diterajui oleh belia untuk mengatasi salah faham mengenai haid dan membasmi kemiskinan haid dalam masyarakat kurang bernasib baik, juga bercakap mengenai tahap kemampuan dalam kalangan golongan B40.

“Dengan melihat perbelanjaan isi rumah keluarga B40 dan membandingkannya dengan kos sebungkus tuala wanita, matematik mudah dan akal akan menunjukkan kepada anda bahawa beliau (Nurulhidayah) bercakap dari kedudukan yang memiliki keistimewaan.

“Dengan membuat kenyataan sedemikian, beliau bersikap tidak sensitif, melainkan beliau mempunyai cadangan lebih baik untuk membantu meringankan masalah ini,” kata kumpulan itu.

Tambahnya, mengagihkan tuala wanita masih kaedah paling mudah untuk meringankan masalah kemiskinan haid dalam jangka pendek.

Wanita gelandangan

Ketua Wanita PKR Johor Napsiah Khamis juga tidak bersetuju dengan Nurulhidayah.

“Saya menggesa kerajaan untuk mengambil serius dan mencari penyelesaian kepada masalah (kemiskinan haid) ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, beliau maklum mengenai kes wanita gelandangan menggunakan tisu dari tandas awam atau cebisan pakaian daripada tong sampah sebagai ganti tuala wanita.

Napsiah juga berkata, segelintir remaja perempuan tidak pergi ke sekolah kerana mereka tiada tuala wanita.

“Bagaimana Nurulhidayah masih boleh kata tiada kemiskinan haid di negara ini?

“Adakah beliau menyamakan kehidupannya yang mewah dengan (kehidupan) wanita lain? Adakah kemiskinan itu boleh ditertawakan?”

Kerajaan mengumumkan, bawah Bajet 2022, kit asas kebersihan diri akan disediakan percuma setiap bulan bagi 130,000 remaja perempuan berpendapatan rendah dalam usaha memerangi kemiskinan haid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.