
Menurut Pesuruhjaya PAS Melaka, Kamarudin Sidek, walaupun kecewa dengan keputusan itu, PAS tidak mahu berlengah dalam mempersiapkan jentera serta memperkukuh kerjasama dengan Bersatu dan Gerakan dalam Perikatan Nasional (PN).
“Kami kecewa dengan keputusan itu kerana kami mahu Umno bersama-sama kami menafikan penguasaan PH tetapi apakan daya, keputusan sudah dibuat.
“Insya-Allah kami akan terus berusaha bersama-sama Bersatu dan Gerakan dalam PN bagi memastikan PH tidak kembali berkuasa di Melaka kali ini,” katanya menurut laporan Melaka Hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya BN, Mohamad Hasan yang mengumumkan BN bergerak solo pada PRN Melaka.
Sehubungan itu, Kamarudin berkata, pertembungan tiga penjuru antara PN, BN dan PH tidak mampu dielakkan dan ia dibimbangi memberi kelebihan kepada PH.
“Kami mahu mengelakkan pertembungan tiga penjuru kerana ia amat merugikan orang Melayu dan Islam tetapi ia tidak mampu dijadikan kenyataan kali ini,” katanya.
Mengenai kerusi dijangka ditandingi dicalon PAS dalam PN, beliau berkata, hasil perbincangan PAS dengan parti komponen PN, PAS dijangka diberikan sembilan kerusi.
Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada pengumuman calon PN di Shah Alam petang ini.