Jamin keselamatan, ketenteraman, polis cadang wartakan Melaka zon larangan dron

Jamin keselamatan, ketenteraman, polis cadang wartakan Melaka zon larangan dron

Bagaimanapun, penggunaan dron bagi parti politik di negeri itu sepanjang PRN dibenarkan dengan syarat ketat, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Hazani Ghazali.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Hazani Ghazali berkata cadangan berkenaan yang masih di peringkat perbincangan dengan pihak Peguam Negara dijangka dimuktamadkan Isnin. (Gambar Bernama)
MELAKA:
Polis bercadang mewartakan Melaka sebagai zon larangan menerbangkan dron sepanjang tempoh pilihan raya negeri (PRN) bagi memastikan aspek keselamatan dan ketenteraman awam di negeri itu terjamin.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Hazani Ghazali berkata cadangan berkenaan yang masih di peringkat perbincangan dengan pihak Peguam Negara dijangka dimuktamadkan Isnin ini.

Bagaimanapun, beliau berkata penggunaan dron bagi parti politik di negeri itu sepanjang PRN Melaka akan dibenarkan dengan syarat ketat antaranya mendapatkan permit daripada pihak berkuasa termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Bagi saya dron merupakan satu ancaman, ia boleh digunakan untuk tujuan baik dan buruk termasuk mewujudkan ancaman dan provokasi. Dron boleh digunakan untuk membawa senjata, gas beracun, cecair yang menyebabkan melecur dan bom.

“Dron juga mungkin digunakan untuk melakukan ‘pendaratan kecemasan’ terhadap kumpulan tertentu yang mungkin (disebabkan) rasa tidak puas hati dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Upacara Penutupan Kursus Light Strike Force (LSF) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Melaka Abdul Majid Mohd Ali dan Timbalan Ketua Polis Melaka Razali Abu Samah.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 17 sekatan jalan raya (SJR) akan dilaksanakan di Melaka termasuk di pintu masuk negeri itu dan laluan tikus sepanjang PRN bagi memastikan tiada pergerakan individu tidak berkenaan masuk ke negeri itu.

“Kita akan memeriksa sijil vaksinasi individu yang masuk ke Melaka dan jika mereka balik mengundi, kita akan periksa sama ada dia merupakan pengundi yang berdaftar di sini,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata 17 pasukan LSF melibatkan 159 pegawai dan anggota, 84 anggota Unit Pencegah Rusuhan (PORU) dan 128 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan bersiap sedia menjaga keamanan negeri itu sepanjang tempoh PRN Melaka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.