
Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata J.J Raj meninggal dunia pada usia 100 tahun pada 1.55 pagi tadi akibat Cardiac Arrhythmia, semasa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Beliau berkata jasad akan dibawa ke Nirvana Memorial Park, Shah Alam, untuk diberikan penghormatan terakhir oleh ahli keluarga dan orang ramai, pada petang ini.
“Mendiang sebelum ini, terkenal selaku Ketua Polis Daerah Pagoh dalam mengetuai Skuad Harimau menyelamatkan warga Balai Polis Bukit Kepong yang diserang pengganas Komunis, sewaktu era Darurat pada 1950.
“Kemuncak karier mendiang dalam pasukan polis ialah apabila dilantik sebagai Pengarah Pengurusan, Bukit Aman pada 1974 sebelum menjalani persaraan wajib pada 1976 dengan pangkat Komisioner Polis,” katanya dalam kenyataan.
Acryl Sani berkata jasa dan bakti yang pernah dicurahkan J.J Raj sangat besar, dan pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan negara.
J.J. Raj dilahirkan pada 27 Julai 1921 di Chemor, Perak dan mendapat pendidikan awal di Sekolah St. Michael’s Institution Ipoh, sebelum berkahwin dengan Irene Raj pada 1952, dan dikurniakan dengan empat anak serta tiga cucu.
Beliau mula menyertai PDRM sebagai Inspektor Pelatih pada 1946 dan menjadi Ketua Polis Daerah Pagoh pada 1950 semasa tragedi serangan Balai Polis di Bukit Kepong, sewaktu darurat di Tanah Melayu pada 23 Feb 1950.
Sepanjang perkhidmatan beliau dalam PDRM, beberapa jawatan penting pernah disandang beliau iaitu Ketua Polis Daerah Tangkak (1952), Ketua Polis Daerah Kuala Lumpur (1958) (sebelum KL menjadi Wilayah Persekutuan), Ketua Polis Pahang (1961), Ketua Polis Negeri Sembilan (1967) dan Pengarah Pengurusan Bukit Aman pada 1974 serta bersara pada 1976.
Beliau mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang dalam pasukan PDRM dan berkhidmat dengan jayanya selama 30 tahun.