PRN Sarawak: GPS bincang pembahagian kerusi antara komponen, kata Abang Jo

PRN Sarawak: GPS bincang pembahagian kerusi antara komponen, kata Abang Jo

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata, masih terlalu awal untuk mengumumkan senarai calon pakatan itu dan akan berbuat demikian tidak lama lagi.

Abang Johari Openg berkata, GPS sudah pun berbincang dengan parti komponen berhubung pembahagian kerusi bagi menghadapi PRN Sarawak.
KUCHING:
Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah mengadakan perbincangan mengenai pembahagian kerusi antara parti-parti komponen bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN), kata Pengerusinya Abang Johari Openg.

Bagaimanapun, beliau berkata masih terlalu awal untuk mengumumkan senarai calon pakatan itu dan akan berbuat demikian tidak lama lagi.

“Tunggu dulu, kita baru sahaja bubarkan (Dewan Undangan Negeri) jangan terburu-buru,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Pada 24 Okt lepas, Setiausaha Agung GPS Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata GPS akan bertanding di semua 82 kawasan PRN Sarawak.

GPS merangkumi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Rabu lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ahmad Shah berkenan menamatkan Proklamasi Darurat bagi Sarawak, yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lepas.

Penamatan Proklamasi Darurat itu memberi laluan kepada PRN Sarawak ke-12 setelah tempoh mandat kerajaan negeri tamat 6 Jun lepas.

Sementara itu, Abang Johari berkata kerajaan GPS ketika ini akan berfungsi sebagai kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk.

“Ya ini adalah peralihan biasa apabila DUN (Dewan Undangan Negeri) dibubarkan, kerajaan yang memerintah menjadi kerajaan sementara.

“Buat masa ini kita tidak boleh membuat keputusan yang besar. Meskipun dalam darurat kita tidak boleh membuat keputusan besar cuma mentadbir seperti biasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.