
Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan berkata, SD yang akan ditandatangani 28 calon Dewan Undangan Negeri (DUN) itu memasuki fasa akhir termasuk perjanjian lain yang akan disertakan bersama.
“Ini sebagai peringatan supaya jangan dah menang, senang-senang nak lompat,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan Negeri Sembilan sebagai negeri angkat kepada Parlimen Masjid Tanah di Kampung Pulau di sini, hari ini.
Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), BN menerusi Umno hanya menang 13 daripada 28 kerusi dipertandingkan menyebabkan gabungan itu tumbang di Melaka dan beberapa negeri lain.
Namun, pada Jan 2020, kerajaan PH tumbang di Melaka selepas Bersatu keluar dari PH. Hasilnya, Umno dengan kerjasama Bersatu dan Bebas membentuk kerajaan negeri.
Pada 4 Okt lalu, dua ADUN Umno bersama seorang ADUN Bersatu dan Bebas menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sulaiman Mohd Ali menyebabkan kerajaan negeri tumbang selepas hilang majoriti.