
Setiausaha Organisasi parti itu, Anthony Loke Siew Fook turut memuji Pengerusi DAP Melaka Tey Kok Kiew yang sanggup melepaskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir yang lebih selamat untuk bertanding di DUN Bemban.
Loke berkata, Tey yang juga penyandang dalam misi mempertahankan DUN Bemban yang merupakan kerusi luar bandar dan DAP hanya memenanginya kali pertama pada pilihan raya umum (PRU14).
“Barisan calon DAP bersifat inklusif dengan menampilkan calon dari pelbagai kaum termasuk seorang calon wanita. DAP sekali lagi membuktikan bahawa kita bersedia untuk memberi peluang kepada anak muda.
“Lima daripada lapan calon berusia 40 tahun dan calon yang paling muda ialah Muhamad Danish Zainuddin berusia 25 tahun dan bertanding di DUN Pengkalan Batu. Manakala calon kita yang paling tua hanya berumur 51 tahun iaitu Low Chee Leong yang akan mempertahankan kerusi DUN Kota Laksamana, katanya di Facebook.
Loke turut mengucapkan tahniah kepada semua calon yang diberi peluang oleh parti namun cabaran besar menanti mereka untuk mendapat mandat daripada pengundi di kawasan masing-masing.
Katanya, selepas keputusan dibuat, seluruh barisan pimpinan dan ahli DAP perlu menumpukan segala usaha untuk mendapat sokongan dan kepercayaan pengundi Melaka.
DAP yang bertanding di lapan kerusi DUN telah mengumumkan calonnya hari ini iaitu G Saminathan (Gadek), Muhamad Danish bin Zainudin (Pengkalan Batu), Kerk Chee Yee (Ayer Keroh), Allex Seah Shoo Chin (Kesidang), Low Chee Leong (Kota Laksamana), Damian Yeo Shen Li (Duyong), Leng Chau Yen (Bandar Hilir) dan Tey Kok Kiew (Bemban).