Debat kabotaj: Wee kelirukan kita, kata bekas timbalan menteri

Debat kabotaj: Wee kelirukan kita, kata bekas timbalan menteri

Ong Kian Ming bertanya sama ada Menteri Pengangkutan itu sengaja tidak menyebut penyertaan Facebook dan Google sebagai pemegang saham dalam projek Apricot.

Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming berkata, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong menggunakan fakta yang mengelirukan semasa debatnya dengan Lim Guan Eng mengenai dasar kabotaj negara.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming menyenaraikan lima perkara yang menunjukkan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong mengelirukan orang ramai semasa debat mengenai dasar kabotaj dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng baru-baru ini.

Pertama sekali Ong berkata, semasa debat itu, Wee kerap kali mahu mewujudkan tanggapan bahawa syarikat kabel dasar laut global dan telekom gergasi Jepun NTT Ltd adalah pemilik tunggal cadangan projek kabel dasar laut Apricot yang memintas Malaysia.

Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, ini “sangat mengelirukan” kerana terdapat beberapa pemegang saham lain dalam projek itu termasuk Google, Facebook, PLDT (syarikat telekomunikasi terbesar Filipina) dan Chunghwa Telecom (syarikat telekomunikasi Taiwan).

“Adakah Wee sengaja tidak menyebut penyertaan pemain lain dalam projek Apricot kerana Facebook dan Google adalah sebahagian daripada kumpulan syarikat (tempatan dan antarabangsa) yang menghantar dua surat kepada bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan satu surat kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob meminta dasar kabotaj Wee diketepikan?” Ong bertanya dalam kenyataan.

Katanya, syarikat-syarikat ini juga mahukan pengembalian dasar pengecualian kabotaj bekas Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, mengenai pembaikan kabel dasar laut.

“Kedua, Yoshio Sato disebut dua kali dalam debat itu kerana Wee mendakwa Sato memainkan peranan penting dalam projek kabel Apricot. Presiden MCA itu juga menggunakan slaid yang melabel Sato sebagai Naib Presiden (VP) NTT,” katanya.

Menurut Ong, Sato tidak lagi berkhidmat dengan NTT dan menubuhkan syarikatnya sendiri bernama Orient Link Pte Ltd, yang berdaftar di Singapura.

“Walaupun saya tidak meragui Sato bekerja dengan NTT pada masa sistem kabel bawah laut Apricot sedang dirancang, laman sesawang Orient Link menyatakan bahawa beliau hanya seorang pengurus di NTT, bukan naib presiden seperti yang dilaporkan.

“Wee bersikap tidak jujur dengan cuba menggambarkan Sato sebagai seseorang yang berpangkat kanan dalam kepimpinan NTT, sedangkan tidak.

“Walaupun beliau adalah Naib Presiden NTT sebelum meninggalkan syarikat itu, tidak tepat untuk menggambarkan kedudukannya sebagai sebahagian daripada kepimpinan kanan syarikat itu,” tambahnya.

Ketiga Ong berkata, laman sesawang Orient Link menyifatkan syarikat itu sebagai usaha sama strategik yang diterajui NTT Group dan Wen Capital Pte Ltd dengan Pengarah Wen Capital adalah Lim Soon Foo, yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan OMS.

“Kumpulan OMS adalah satu-satunya syarikat di Malaysia yang mendakwa mempunyai keupayaan kapal selam membaiki kabel dasar laut dan satu-satunya pihak yang menerima manfaat daripada dasar kabotaj yang dikembalikan Wee apabila beliau menjadi Menteri Pengangkutan.

“Hakikat bahawa Lim Soon Foo adalah Pengarah Wen Capital, yang juga pemegang saham Orient Link dan turut menjadi Pengerusi Eksekutif Kumpulan OMS menunjukkan bahawa terdapat konflik kepentingan yang jelas di pihak Sato,” katanya.

Dalam semakan fakta keempat mengenai kenyataan Wee, Ong berkata, “Projek Kabel Ekspres Intra-Asia”, dengan Sato menjadi perundingya, adalah “buah sulit” yang digunakan oleh Wee pada akhir debat itu.

Beliau berkata, ia tidak boleh dianggap sebagai projek rasmi NTT kerana Sato tidak lagi bekerja untuk syarikat itu.

“Akhir sekali, Wee juga mendakwa bahawa Kumpulan OMS baru-baru ini membeli sebuah kapal bernama Lodbrog yang mempunyai keupayaan membaiki kabel dasar laut Dynamic Positioning 2 (DP2).

“Bagaimanapun, spesifikasi teknikal daripada laman sesawang Kumpulan OMS nampaknya memberi gambaran berbeza,” katanya.

Walaupun begitu, Ong memuji debat mengenai dasar kabotaj yang disiarkan secara langsung di TV dan melalui media sosial itu dan berharap format sama boleh digunakan bagi perbahasan mengenai isu dasar awam yang lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.