Cukai Makmur dikhuatiri takutkan pelabur

Cukai Makmur dikhuatiri takutkan pelabur

Pengumuman kerajaan mengenai cukai khas 'one-off' itu disusuli penurunan RM33.8 bilion dalam jumlah pasaran modal dalam kalangan syarikat tersenarai awam.

Reaksi negatif terhadap pengumuman Cukai Makmur dapat dilihat di Bursa Malaysia.
PETALING JAYA:
Cukai khas “one-off” kepada syarikat yang menjana pendapatan tinggi diumumkan minggu lalu dikhuatiri menjadi penghalang kepada pelabur kerana ia menunjukkan kesediaan kerajaan untuk “menghukum” syarikat yang mampu menunjukkan prestasi kukuh semasa wabak Covid-19.

Bawah cukai yang digelar “Cukai Makmur” itu, pendapatan korporat melebihi RM100 juta akan dikenakan cukai pada kadar 33% berbanding 24% sebelum ini.

Usul itu dibuat semasa pembentangan Bajet 2022 Jumaat lepas, dan reaksinya begitu cepat sejak Bursa Malaysia dibuka untuk dagangan pada Isnin.

Jumlah pasaran modal syarikat tersenarai turun sebanyak RM33.8 bilion, dan Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa mengakui pada Selasa bahawa ia mungkin disebabkan kebimbangan mengenai cukai berkenaan.

Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan Antarabangsa Malaysia Shaun Edward Cheah berkata, cukai itu mengenakan penalti terhadap syarikat yang mampu mencatatkan keuntungan yang kukuh “berdasarkan operasi perniagaan yang bijak”.

“Walaupun semasa wabak, terdapat syarikat-syarikat yang perlu menggiatkan operasi bagi memenuhi permintaan baharu dan mencatatkan lebih keuntungan hasil usahanya,” katanya kepada FMT.

“Bagi pelabur, semestinya, pelaksanaan dasar ‘ad hoc’ seperti ini menakutkan.”

Katanya, kebimbangan ini dapat diredakan jika hasil yang dikutip diperuntukkan secara khusus buat projek-projek pemulihan ekonomi bersasar, berbanding digunakan untuk meningkatkan hasil kerajaan.

“Jika ia digunakan ke arah tujuan yang baik, seperti bank makanan, membekalkan peralatan perubatan atau skim berterusan, ini dapat diterima dengan lebih baik oleh pelabur,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito bersetuju bahawa kerajaan perlu lebih telus mengenai bagaimana hasil itu akan dibelanjakan.

Katanya, kerajaan juga perlu lebih tegas dalam makluman bahawa ini hanya langkah sementara, jika mahu memenangi semula hati pelabur asing.

Ferlito berkata, cukai baharu akan mempengaruhi pendapatan dan akhirnya mengurangkan keuntungan pelabur institusi besar seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), seterusnya mengurangkan pulangan mereka kepada rakyat.

Benedict Weerasena daripada Bait Al-Amanah bersetuju bahawa kerajaan mesti komited dalam memansuhkan cukai berkenaan selepas 2022 kerana dikhuatiri akan menjejaskan daya saing jangka panjang negara di Asia Tenggara.

Beliau mengakui cukai itu akhirnya akan sejajar dengan agenda pembangunan bersama kerajaan, tetapi katanya, ia masih perlu mempertimbangkan langkah-langkah jangka panjang untuk memastikan kestabilan fiskal, berbanding menggunakan cukai sekali sahaja.

Katanya, cukai khas itu, tidak seperti pembaharuan yang lebih luas atau cukai penggunaan seperti GST, “tidak menyokong penjanaan hasil jangka panjang bagi negara”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.