790 kes Delta di Sarawak dalam seminggu, kata Noor Hisham

790 kes Delta di Sarawak dalam seminggu, kata Noor Hisham

Jumlah itu merangkumi lebih 75% varian membimbangkan dikesan di seluruh negara sejak 29 Okt.

Varian Delta mempunyai kadar kebolehjangkitan lebih tinggi berbanding virus Wuhan yang mencetuskan pandemik Covid-19 tahun lalu.
PETALING JAYA:
Sebanyak 1,047 kes varian membimbangkan (VOC) dikesan sejak 29 Okt dengan semuanya adalah varian Delta.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam kenyataan, data itu hasil kajian berterusan oleh Institute of Health and Community Medicine, UKM Medical Molecular Biology, Integrative Pharmacogenomics Institute, dan Malaysia Genome Institute.

Kes berkenaan dikenal pasti di 11 negeri dengan yang paling tinggi di Sarawak, di mana 790 kes atau 75.5% telah dikesan.

Ini disusuli Pulau Pinang (56), Johor (55), Negeri Sembilan (34), Pahang (34), Selangor (31), Sabah (16), Melaka (16), Kuala Lumpur (6), Perlis (6) dan Labuan (3).

Kes VOC tidak dikesan di negeri selebihnya.

Ini bererti jumlah kes Delta kini adalah 3,432, dan daripada jumlah itu 1,788 atau 52% telah dikesan di Sarawak. Negeri yang turut mencatatkan jumlah kumulatif tertinggi adalah Selangor (388), Johor (210) dan Pulau Pinang (195).

Sebelum ini Noor Hisham dilaporkan berkata, varian Delta mempunyai kadar kebolehjangkitan (R0 atau R-nought) lebih tinggi, dan lebih mudah berjangkit berbanding virus Wuhan yang mencetuskan pandemik Covid-19 tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.