
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berkata, sejak kebenaran aktiviti merentas negeri dibenarkan, perkembangan itu membawa khabar gembira kepada penggiat industri kerana rakyat kini boleh melakukan aktiviti pelancongan dan seterusnya merangsang pemulihan industri.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran aktiviti merentas negeri pada 10 Okt selepas negara mencapai kadar peratusan 90% populasi dewasa lengkap vaksin.
Kementerian itu turut memaklumkan susulan kebenaran pengoperasian semula muzium secara berfasa bermula 7 Ogos lalu, muzium menerima kunjungan melebihi 47,000 pelawat sehingga 24 Okt lalu.
“Antara muzium yang terlibat adalah Muzium Negara, Muzium Sungai Lembing, Muzium Tekstil Negara dan Muzium Seni Bina,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Kementerian itu berkata, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) melaporkan kadar purata penghunian (AOR) bagi hotel 4 hingga 5 bintang meningkat sebanyak 30% pada Oktober.
Menurutnya, pergerakan penumpang domestik di lapangan terbang meningkat sebanyak 74% pada September berikutan kejayaan projek gelembung pelancongan itu.