Perlu lebih berani, jangan ‘dikawal’ pihak tertentu, Mat Sabu tegur PM

Perlu lebih berani, jangan ‘dikawal’ pihak tertentu, Mat Sabu tegur PM

Presiden Amanah Mohamad Sabu melihat Perdana Menteri tidak berani seperti yang diinginkan termasuk tidak mengambil tindakan terhadap pelbagai perkara.

Mohamad berkata, memorandum persefahaman yang ditandatangani kerajaan dengan Pakatan Harapan sebelum ini adalah untuk memastikan Ismail Sabri Yaakob kekal menjadi Perdana Menteri hingga pilihan raya umum akan datang.
KUALA LUMPUR:
Presiden Amanah Mohamad Sabu menggesa Ismail Sabri Yaakob supaya lebih berani menguruskan kerajaannya daripada menjadi “tawanan” oleh pihak tertentu.

Mohamad (PH-Kota Raja) berkata, memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini adalah untuk memastikan Ismail kekal menjadi Perdana Menteri hingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Mohamad juga berkata, beliau melihat Ismail “tidak berani” seperti yang diinginkan dalam mengambil tindakan terhadap pelbagai perkara, termasuk dakwaan bekas Ketua Polis Negara Hamid Bador sebelum ini mengenai amalan rasuah yang berleluasa dalam politik.

“Jangan jadi seperti tawanan yang dikawal oleh orang tertentu. Mengenai pilihan raya negeri (PRN) Melaka, sehingga kini dia tidak mengumumkan apa-apa.

“Apakah SOPnya? Apa yang kita ada ialah menteri ini atau menteri itu yang membuat pengumuman.

“Perdana Menteri mesti tunjukkan ‘kuasa’ beliau dalam menguruskan kerajaan. Jangan ada sebarang ancaman daripada mana-mana pihak. Itulah sebabnya kami menandatangani MoU supaya (Ismail) boleh kekal sehingga pilihan raya akan datang.

“Tetapi dia nampaknya tidak berani melakukan sesuatu yang berbeza untuk menyelamatkan Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022.

Mohamad juga secara berseloroh merayu kepada Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) supaya tidak melakukan perkara yang sama sekiranya beliau menjadi Perdana Menteri nanti.

Beliau juga menggesa kerajaan untuk melihat ke arah pembangunan industri pertahanan tempatan pada masa depan dengan berkata, negara mampu mengeluarkan kenderaan 4×4 dan 6×6 sendiri, malah untuk dijual ke negara lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.