
Di bawah bimbingan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sektor pembuatan turut berkembang selain memainkan peranan penting dalam transformasi ekonomi negara pada hari ini.
Agensi itu menjadi pemudahcara dan memperkukuhkan nilai tambah serta pelaburan dalam keupayaan teknologi untuk terus membangunkan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi.
Dalam industri hari ini, ia dikenali sebagai program Lighthouse.
Dengan menerapkan kaedah pembuatan secara pintar bermula dari peringkat perintis kepada integrasi, program unik itu berfungsi sebagai isyarat untuk membimbing syarikat menangani cabaran dalam sistem pengeluaran dengan menggunakan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI), pembuatan tambahan dan lanjutan analitik.
Forum Ekonomi Dunia (WEF) telah memantau organisasi ini bersama McKinsey & Company sejak 2016 dan melancarkan Global Lighthouse Network pada 2018 sebagai kolaborasi penyelidikan bagi mengetengahkan syarikat termaju dalam dunia pembuatan untuk dipelajari oleh syarikat lain.
Malaysia telah menunjukkan hasil yang membanggakan – Western Digital Malaysia di Batu Kawan, Pulau Pinang diiktiraf sebagai “Global Lighthouse Factory” WEF dan meraih status “Global Lighthouse Network” (GLN).
Mengulas pencapaian itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Arham Abdul Rahman berkata: “Ia menjadi kilang pintar pertama di negara ini dan merupakan bukti kepada ekosistem elektrik dan elektronik (E&E), landskap bakat yang kukuh dan kesediaan negara untuk Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).”
“Ini membuka ruang lebih besar untuk mengadakan kolaborasi dengan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) dalam bidang baharu ini memandangkan mereka kini telah memulakan transformasi ini.
“Selain itu, lebih banyak syarikat di Malaysia akan mencapai hasil yang lebih cemerlang selain menangani masalah ketidakcekapan operasi dan kesan pencemaran terhadap alam sekitar menerusi penggunaan teknologi 4IR,” kata Arham.
Western Digital Malaysia juga telah mengambil beberapa langkah untuk menyediakan bakat pada masa depan menerusi program Internet Kebendaan Industri (IIOT).
Ini termasuk kerjasama strategik dengan universiti tempatan dan platform antarabangsa, memberi latihan dan menerapkan pemikiran baharu dalam kalangan pekerja mengenai penggunaan teknologi 4IR.
Ia akan menyediakan tenaga kerja semasa dan masa depan dengan pengetahuan 4IR dan kemahiran bersesuaian serta mencipta peluang kerja berkualiti kepada seluruh rakyat.
Mereka juga akan memperluaskan pengawasan untuk memastikan hasil limpahan ekonomi diperolehi rakan rantaian bekalan dan vendor tempatan yang menggunakan teknologi 4IR.
“Buat masa ini, MIDA sedang mengambil langkah proaktif untuk menjemput syarikat multinasional (MNC) dan syarikat besar tempatan daripada pelbagai industri yang melakukan transformasi besar dalam pelaksanaan 4IR untuk mencapai pengiktirafan status WEF,” kata Arham.
Pemain Lighthouse harus melaksanakan 4IR atau teknologi pembuatan pintar kepada integrasi secara berskala dan pada masa yang sama berfungsi sebagai pembimbing kepada rantaian bekalannya untuk mengaplikasikan teknologi itu termasuk pembuatan tambahan, lanjutan analitik, robot autonomi dan IIOT untuk menangani cabaran dalam sistem pengeluaran sedia ada.
Ini akan lebih menyokong aspirasi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dalam memacu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan syarikat pembuatan mencapai daya saing operasi yang lebih tinggi serta melaksanakan komitmen terhadap kepimpinan perniagaan, sosio ekonomi dan alam sekitar untuk mencapai masa depan lebih lestari.
Mereka juga mempunyai keupayaan untuk meningkatkan kesan terhadap perniagaan dengan menetapkan semula penanda aras operasi dan tahap kelestarian dan menggalakkan pembangunan teknologi, produk, metodologi dan perkhidmatan di negara ini.
“Dengan melihat lebih jauh, Malaysia membayangkan kewujudan sektor pembuatan dan perkhidmatan yang dinamik menerusi pekerjaan teknikal, kapasiti inovasi, kumpulan bakat mahir yang khusus, aset operasi berteknologi tinggi dan produktiviti yang dipertingkatkan.
“MIDA berharap pengiktirafan itu akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab penyelidikan, pembangunan dan inovasi, industri berteknologi tinggi dan perkhidmatan global.”