
Beliau berkata, satu mesyuarat telah diadakan di Parlimen semalam bagi membincangkan status kemas kini mengenai usaha menjenayahkan aktiviti menghendap atau “stalking”.
Mas Ermieyati berkata, usaha untuk menjadikan menghendap sebagai satu jenayah telah bermula sejak 2019 dengan satu Jawatankuasa “Anti-Stalking” ditubuhkan.
“Sejak awal 2020, draf pindaan undang-undang (pindaan Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah) telahpun disediakan oleh Jawatankuasa Anti-Stalking, yang diterajui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dengan penglibatan agensi-agensi kerajaan lain dan NGO,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, Kertas Dasar berserta cadangan pindaan undang-undang dijangka dibentang kepada Jemaah Menteri pada Disember ini dan pindaan tersebut akan dibentang di Parlimen setelah mendapat persetujuan Jemaah Menteri.
Katanya, mesyuarat dikendalikan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri semalam turut dihadiri agensi kerajaan termasuk Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), polis, Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam Malaysia, wakil-wakil dari pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Women’s Aid Organisation (WAO) dan ahli-ahli akademik.
Tambahnya lagi, dalam mesyuarat itu tiga individu telah berkongsi pengalaman mereka sebagai mangsa yang masih tidak diberikan perlindungan disebabkan jurang yang wujud dalam undang-undang sedia ada.
“WAO juga telah menyerahkan memorandum yang telah ditandatangani oleh 52 kumpulan dan petisyen yang disokong lebih 8,500 orang setakat ini, kepada Timbalan Menteri, yang menggesa kerajaan segera menjenayahkan menghendap,” katanya.
Kata Mas Ermieyati, beliau berhasrat mengadakan pertemuan bersama Ahli Parlimen, agensi-agensi kerajaan dan NGO berkaitan untuk memberikan gambaran kepada orang ramai dan lebih memahami kesan perbuatan ini kepada masyarakat.