Ivermectin: Saya akan kaji dapatan kerajaan, kata Ahli Parlimen PKR

Ivermectin: Saya akan kaji dapatan kerajaan, kata Ahli Parlimen PKR

Selepas kenyataan dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan hari ini, William Leong berkata beliau 'diberitahu orang ramai ubat itu berkesan'.

Ahli Parlimen PKR William Leong dan beberapa yang lain dari pembangkang sebelum ini mencadangkan penggunaan Ivermectin bagi merawat pesakit Covid-19.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen PKR William Leong, yang pernah mendesak penggunaan Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19, berkata beliau mahu mengkaji dapatan Kementerian Kesihatan selepas ubat itu tidak disyorkan penggunaanya untuk diberikan kepada mereka yang dijangkiti.

“Saya akan meneliti dapatan Kementerian Kesihatan dan melihat apa yang boleh dilakukan seterusnya,” kata Leong, yang membangkitkan perkara itu di Parlimen.

Ahli Parlimen Selayang itu berkata beliau telah “diberitahu oleh orang ramai bahawa ubat itu berkesan”.

“Ada orang yang memberitahu saya mengenai laporan pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital dari Malaysia dan luar negara yang menggunakan Ivermectin dan pulih,” katanya kepada FMT.

Pada persidangan Dewan Rakyat pada 27 Julai, Leong telah menyertai Ahli Parlimen Pakatan Harapan Mohamad Sabu (Kota Raja), Khalid Samad (Shah Alam), Sivarasa Rasiah (Sungai Buloh), Johari Abdul (Sungai Petani) dan Sim Tze Tzin (Bayan Baru ) menyeru Menteri Kesihatan ketika itu, Dr Adham Baba membenarkan penggunaan Ivermectin oleh pesakit Covid-19.

Bagaimanapun warganet dan pengamal perubatan berkata tidak ada data yang mencukupi tentang penggunaan ubat untuk pesakit berkenaan.

Awal hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam kenyataan, hasil kajian I-Tech terhadap ubat antiparasit itu mendapati tiada perbezaan ketara didapati dari segi kemasukan ke ICU, penggunaan alat bantuan pernafasan mekanikal, pemulihan simptom, parameter ujian darah dan resolusi imbasan X-Ray dada.

Susulan itu, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan agar Ivermectin hanya digunakan dalam kajian klinikal dengan pemantauan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.